ISLAMABAD, 27 Feb – Pakistan tidak mahu berperang dengan India, kata jurucakap tentera hari ini beberapa jam selepas Islamabad berkata ia menembak jatuh dua jet pejuang India di ruang udara negara itu.
Ia sekali gus menimbulkan kebimbangan akan tercetusnya konflik besar-besaran di antara dua negara kuasa nuklear itu.
“Kami tidak mahu memburukkan keadaan, kami tidak mahu menuju ke arah peperangan,” kata Mejar Jeneral Asif Ghafoor pada satu sidang media di bandar Rawalpindi yang turut menyeru New Delhi ke meja rundingan.
Tambahnya, dua juruterbang India ditahan dengan seorang daripadanya berada di hospital. Insiden itu adalah yang terbaharu, di mana hubungan keduanya semakin tegang sejak kejadian pengeboman nekad pada 14 Februari lalu di Kashmir. – AFP