Penyanyi, Noryn Aziz, enggan terburu-buru menghasilkan lagu baharu walaupun ramai peminat memintanya berbuat demikian.
Tegas Noryn atau nama lengkapnya Norazmahwati Abdul Aziz, dia akui berhati-hati supaya tidak dituduh menghasilkan lagu seperti melepaskan batuk di tangga dan hasilnya nanti mengecewakan banyak pihak.
“Memang ramai yang bertanya, bila lagi saya nak muncul dengan lagu baharu? Lebih-lebih lagi selepas setahun saya menjuarai program realiti, Gegar Vaganza. Bukan tidak mahu berbuat begitu, cuma saya kena cari material yang sesuai. Saya ada juga meminta lagu daripada Syamel. Walaupun dia komposer muda, karya ciptaannya mempunyai jiwa dan amat sesuai untuk penyanyi seperti saya.
“Selain itu, saya ada juga mengintai peluang untuk bekerjasama dengan komposer dari Indonesia. Teringin juga nak dengar sisi berbeza vokal saya apabila menyampaikan lagu ciptaan komposer dari sana,” katanya kepada media ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-43 kelahirannya di sebuah pusat beli-belah terkemuka baru-baru ini.
Majlis anjuran jenama barang kemas, De Beers, itu turut menyaksikan kehadiran teman baiknya, Salamiah Hassan dan Anuar Zain. Dalam perkembangan lain, penyanyi yang popular dengan lagu Fantasi O Realiti ini meluahkan hasrat untuk mengadakan showcase khas buat peminat setianya.
“Terlalu banyak perkara perlu saya selesaikan, tahun ini. InsyaAllah, selain single baharu, pada tahun depan juga saya akan mengadakan sebuah showcase berskala besar. Ketika ini, perbincangan mengenainya sedang diadakan. Doakan semoga impian itu tercapai dan 2020 terus membawa sinar kejayaan dalam kerjaya nyanyian saya,” ujar Noryn dalam nada teruja. – Agensi
