Biarpun diri sering dihambat kontroversi, keadaan itu tidak pernah menghalang Uqasha Senrose terus berjuang membina nama dalam bidang seni.
Mengakui banyak pengalaman pahit dan manis dikecapi sepanjang hampir sedekad dalam dunia hiburan, pelakon jelita itu tetap bersyukur apabila rezekinya sentiasa dimurahkan. Menurut Uqasha, undangan lakonan yang diterima membuatkan jadual kerjanya kini padat terisi sehingga ke tahun depan.
Ujar kakak kepada Nelydia dan Raysha Rizrose itu, sejak beberapa bulan lalu, jadual seninya memang penuh dengan pelbagai kerja lakonan, termasuk drama dan filem.
“Begitupun, saya kena juga lihat pada skrip yang dihulurkan. Saya tidak boleh terima dengan begitu sahaja apa juga tawaran yang datang. Pada masa sama, saya bukanlah terlalu cerewet. Jika ada rezeki yang baik di depan mata, saya terima dengan lapang dada. Saya masih berpijak di bumi nyata. Selagi sesebuah cerita itu tidak menampakkan saya terlalu ‘bodoh’ dan penonton pun akan suka, saya pasti tiada masalah menjayakannya.
“Insya-Allah, pada tahun depan sudah ada tawaran berlakon drama rantaian yang harus saya penuhi,” katanya yang berada di Sarawak selama dua bulan, baru-baru ini, bagi menjalani penggambaran filem, Sumpahan Jerunai.
Ketika ini, Uqasha sibuk di lokasi drama, Pengantin Lelaki Untuk Cik Gadis, bersama Nafiz Muaz. – Agensi
