Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Seorang anggota beruniform mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, semalam, atas tuduhan mencederakan bekas isterinya.
Mohammad Hadi Ilhamdy bin Haji Awang Asmadi, 29, dituduh menghantukkan kepalanya pada hidung mangsa (ketika itu masih bergelar isterinya) di rumah mereka di Kampung Katok B, pada 13 April 2016.
Dia didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Penggal 22 yang membawa penjara sehingga tiga tahun dan juga denda jika sabit bersalah.
Bapa kepada tertuduh yang bertindak mengambil gambar semasa sebutan dijalankan telah ditegur oleh jurubahasa mahkamah yang terus merampas telefon bimbit yang digunakan.
Perbuatan bapa tertuduh itu boleh dianggap kesalahan kerana tidak menghormati mahkamah. Etika dan adab perlu dipatuhi oleh seseorang semasa berada di mahkamah kerana ia mencerminkan imej seseorang dan pada masa yang masa, institusi kehakiman perlu dihormati.
Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Rozaimah binti Haji Abdul Rahman seterusnya membuat permohonan untuk tertuduh dibicarakan dan akan memanggil empat orang saksi untuk memberikan keterangan.
Majistret Kanan Azrimah binti Haji Abdul Rahman menetapkan 16 Mei untuk tarikh perbicaraan, dan melepaskan tertuduh dengan ikat jamin.