Melati Mohd Ariff
KUALA LUMPUR – “Tak boleh tak balik. Mesti balik. Tak meriah raya kalau tak balik!” Spontan penulis mendapat jawapan ini bila mengajukan soalan kepada seorang sahabat. Untungnya sahabat ini dan suaminya berasal dari negeri yang sama. Sering “balik kampung” menjadi isu besar bagi pasangan suami isteri sedangkan ia boleh diselesaikan dengan secara berhemah dan bertolak ansur.
Sememangnya balik kampung tidak semestinya menjadi isu sehingga hendak bercerai-berai seperti yang dikongsi penjawat awam, Ainul Huda dengan penulis. Tahun ini beliau beraya di rumah mentuanya di Alor Setar setelah dua tahun beraya di rumah ibu bapa sendiri di Shah Alam, Selangor kerana “masih dalam pantang.” Beliau dan suami juga mengambil langkah bijak dengan bercuti lebih awal, bukan sahaja untuk berpuasa di kampung tetapi juga untuk mengelakkan kesesakan.
Selagi ada kampung
Saban tahun menjelang hari raya, warga perantau di bandar atau kota besar, sama ada yang sudah berkeluarga atau masih bujang pasti “balik kampung” . Tidak kisahlah jika terpaksa mengharungi kesesakan lebuh raya atau jalan raya. Bagi kebanyakannya, berbaloi menghabiskan masa berjam-jam untuk sampai ke destinasi yang dituju apabila dapat meraikan lebaran bersama ibu dan ayah serta keluarga dan saudara-mara.
Kalau yang balik kampung tu, cuba-cubalah simpan jauh-jauh gajet-gajet yang biasanya senantiasa ada di tangan. Banyakkan berbual dengan emak ayah, adik-beradik, sanak saudara dan jiran tetangga. Jangan pula nanti asyik menghadap gajet sehingga hati orang di sekeliling terluka, sudahlah susah hendak bersua muka.
Tradisi balik kampung ini dapat bertahan kerana ramai warga kota mempunyai emak dan ayah serta kaum keluarga di kampung. – Bernama
Apa pun beruntunglah untuk mereka yang masih ada kampung. Penulis sendiri sekadar berkongsi kegembiraan dan kemeriahan balik kampung kerana tidak ada lagi kampung untuk dituju. Kenangan penulis tentang kampung sendiri amat terhad, hanya ada kampung datuk dan nenek sebelah emak yang terletak di Sg Plong, Selangor.
Masih penulis ingat rumah berpapan warna hitam dan bertiang terletak berhadapan jalan besar. Ada anjung dan sebuah bilik. Untuk ke dapur ada tangga kecil yang berlantaikan tanah dan pada masa itu kami menggunakan kayu dan ranting dan kebanyakannya diambil dari ladang getah yang terletak di seberang jalan. Lampu pelita yang menggunakan minyak tanah menghasilkan jelaga yakni asap hitam.
Di samping perigi di tepi rumah, kami juga mendapatkan bekalan air dari telaga yang terletak di celah-celah pokok rumbia yang daunnya dibuat atap rumah. Banyak anak berudu dalam air yang jernih.
Trend balik kampung mungkin berubah
Tradisi balik kampung ini dapat bertahan kerana ramai warga kota mempunyai emak dan ayah serta kaum keluarga di kampung. Seandainya mereka itu sudah tiada lagi, kebarangkalian tradisi ini akan pupus dengan sendirinya. Ini ditambah dengan laporan 85 peratus daripada negara ini akan menjadi kawasan perbandaran menjelang 2040 dan jumlah penduduk bandar juga meningkat pada masa depan.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dipetik sebagai berkata, keadaan sebaliknya akan berlaku apabila orang ramai datang ke bandar kerana kebanyakan penduduk berhijrah dan tinggal di bandar.
Bagi yang masih ada kampung cubalah pertahankan rumah di kampung seandainya orang tua sudah tiada, sekurang-kurangnya rumah yang diwarisi masih boleh menjadi kenangan dan dihargai generasi akan datang. Cumanya selagi tradisi ini diteruskan, mereka yang balik kampung perlu merancang bukan sahaja perbelanjaan tetapi juga perjalanan mereka.
Beringat dan berwaspada. Jangan jadikan lebuh raya atau jalan raya litar lumba. Ingatlah kelajuan boleh membunuh! Tabiat suka memotong kenderaan lain juga boleh membunuh! Jangan nanti apa yang dirancang penuh kegembiraan menjadi kedukaan dan sesal sepanjang hayat.
Masih ingat kemalangan ngeri yang menyebabkan lapan orang termasuk enam beranak rentung dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di KM25 Jalan Bahau-Keratong, Jempol, Negri Sembilan pada 11 Jun lalu. Kemalangan yang melibatkan empat kenderaan itu dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu treler yang cuba memotong kenderaan di hadapannya tetapi gagal.
Jangan kumpul saman
Meskipun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menguatkuasakan sistem mata demerit di bawah Sistem Kesedaran Automatik (Awas) dengan menyenaraikan 23 kesalahan lalu lintas pada akhir tahun, dua kesalahan iaitu melanggar arahan lampu isyarat dan memandu melebihi had laju dikuatkuasakan bermula 15 April lepas.
Awas adalah gabungan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara). Penguatkuasaannya adalah untuk menyedarkan pengguna jalan raya diharap dapat mematuhi peraturan jalan raya dan tidak menjadi statistik kemalangan.
Bagi Ops Selamat 11/2017 yang bermula pada 18 Jun hingga 2 Julai ini iaitu sempena Hari Raya Aidilfitri tema yang digunakan tahun ini ialah “Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi”. Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan menggunakan kamera Intelligent Compound Online Payment System (iCOPS) bagi memantapkan keberkesanan operasi.
Ops Perangkap Had Laju juga akan dilaksanakan di kawasan yang kerap berlaku kemalangan dan antara kesalahan utama pemandu ialah memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar dan menggunakan telefon bimbit. Untuk itu, yang akan balik kampung berhati-hatilah jangan sampai terperangkap! Ingat keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain. Selamat Menyambut Aidilfitri untuk semua! – Bernama