Tuesday, April 22, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tidak perlu jadi sensasi

    Dendangan dua lagu termasuk single Di Matamu yang disampaikan penuh romantis pada majlis meraikan ulang tahun kelima Jasmine Suraya dalam dunia seni, mencetus spekulasi hubungan Sufian Suhaimi dan pelakon itu.

    Ahad lalu, perhatian tetamu tertumpu kepada Sufian yang menghadiahkan dua lagu kegemaran Jasmine pada majlis meriah dihadiri kira-kira 30 peminat di sebuah premis acara, di sini.

    “Jika kehadiran saya dapat membuatkan seseorang gembira, kenapa saya tidak lakukannya?” kata Sufian ketika ditanya mengenai kemunculannya di majlis berkenaan.

    Sufian memberitahu, dia dimaklumkan syarikat pengurusan mengenai kejutan yang dirancang di majlis meraikan Jasmine.

    “Saya percaya perkara ini diatur pengurusan saya dan Jasmine. Kebetulan, saya tidak ada komitmen lain, jadi tak salah untuk saya ceriakan majlis itu. Secara kebetulan, Jasmine meminati lagu Di Matamu dan sukakan bakat saya,” katanya kepada BH Online.

    Sufian Suhaimi sudah terbiasa dengan gosip yang tular mengenai dirinya. – Agensi

    Sufian berkata, kehadirannya di majlis itu tidak perlu disensasikan.

    “Saya sudah biasa dengan gosip dan apa yang orang cakap. Kejutan yang saya beri ini tidak lebih daripada menyokong karier Jasmine,” katanya.

    Pemenang kategori Persembahan Terbaik pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-33 itu tidak menyangka Jasmine mampu merasai emosi single Di Matamu.

    “Saya tahu ramai orang boleh mengaitkan lagu itu dengan diri sendiri. Ini termasuk Jasmine kerana dia pernah berhadapan kisah cinta tak kesampaian,” katanya.

    Tanpa berselindung, Sufian mengaku meminati Jasmine apabila pertama kali melihatnya di kaca televisyen dalam program sukan biola sepak  yang kali pertama ditonton ketika mengendalikan program sukan bola sepak.

    “Jasmine antara hos yang saya suka tonton di kaca televisyen (TV)… Dia macam ‘crush’ (gadis yang diminati) saya,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, calon awal Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 itu akan melancarkan buku puisi berjudul Senandika Sufian Suhaimi

    “Buku puisi yang memuatkan lebih 60 nukilan itu dijangka dipasarkan, Oktober depan. Buku puisi ini adalah hasil kolaborasi Universiti Utara Malaysia (UUM). Tajuk buku ini dipilih atas perbincangan bersama UUM yang akan menguruskan soal penerbitan dan pengedarannya,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda