Tidak perlu pakai penutup mulut dan hidung jika joging

PUTRAJAYA, 29 MEI – Orang ramai tidak perlu memakai penutup mulut dan hidung ketika melakukan aktiviti bersendirian, seperti berjoging atau memandu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, keperluan memakai penutup mulut dan hidung adalah apabila mereka bergejala dan berada persekitaran tumpuan awam.

“Keperluan penutup mulut dan hidung adalah untuk memutuskan rantaian COVID-19, jika berjoging di tempat yang tiada orang, tidak perlu pakai. Pastikan jarak dua hingga tiga meter dari orang lain.

“Memandu seorang diri juga tidak perlu memakai penutup mulut dan hidung,” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Katanya, pemakaian penutup mulut dan hidung jenis N95 sehing-ga tiga hingga empat jam juga, boleh menyebabkan rimas.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan, dua pelajar sekolah di China rebah dan mati, ketika masing-masing sedang memakai penutup mulut dan hidung sewaktu menjalani ujian wajib larian, dalam latihan pendidikan jasmani.

Dilaporkan juga seorang lelaki di Amerika Syarikat yang memakai penutup mulut dan hidung jenis N95, meninggal dunia akibat kemalangan susulan kekurangan oksigen.

Ditanya sama ada Kementerian Kesihatan (KKM), meneliti cadangan semua pekerja asing berhenti kerja sementara waktu, buat saringan kesihatan dan disahkan bebas wabak itu, Dr Noor Hisham berkata, cadangan itu tidak praktikal.

Katanya, kapasiti makmal ujian COVID-19 KKM tidak berkemampuan untuk menyaring kira-kira lebih lima juta warga asing, sekiranya mereka diberhentikan sementara di semua sektor. – Bernama

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, kelmarin. – Bernama