Tidak puas hati, kekasih pecah cermin kereta pegawai polis

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JUN – Seorang lelaki dan seorang perempuan telah dijatuhi hukuman penjara dan sebat oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, setelah mereka mengaku bersalah atas dakwaan melakukan khianat dengan merosakkan harta benda.

Mohammad Shuami bin Kamis berusia 38 tahun dijatuhi hukuman penjara empat bulan dengan dua sebatan, manakala itu, Maimunah binti Metussin, 45, pula dijatuhi empat bulan penjara.

Timbalan Pendakwa Raya Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli memaklumkan Pemangku Majistret Kanan Pengiran Hazirah binti Pngiran Haji Mohd Yusof bahawa kedua-dua defendan berjalan kaki ke rumah seorang pegawai polis tugas-tugas khas di Balai Polis Muara sekitar Februari.

Maimunah tidak puas hati dengan pegawai polis berkenaan kerana anak lelakinya ditangkap.

Mohammad Shuami merupakan teman lelaki Maimunah dan turut membawa sebatang besi.
Mohammad Shuami bertindak sebagai peninjau sementara Maimunah menghampiri kereta mangsa dan mengambil bata sebelum melontarkan ke arah cermin belakang menyebabkannya retak.

Kemudian, Mohammad Shuami mendekati kereta berkenaan dan memecahkan cermin berkenaan selepas memukulnya dengan batang besi sebanyak dua kali.

Mangsa telah membuat laporan polis dan membawa kepada penahanan pasangan kekasih berkenaan. Kos kerosakan yang dialami mangsa adalah di bawah $700.