Tidak ramai kakitangan kerajaan di pejabat

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Gelombang kedua penularan COVID-19 di negara ini dan pertambahan kes tempatan menyebabkan kaunter-kaunter di kebanyakan pejabat kerajaan ditutup bagi mengurangkan jumlah pegawai dan kakitangan bertugas di pejabat selain menggalakkan mereka bekerja dari rumah (WFH) untuk mengurangkan interaksi fizikal.

Hanya sebahagian yang masih terpaksa datang bagi menjalankan tugasan di pejabat namun dalam jumlah yang sedikit.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah pada sidang media COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurutnya, orang ramai boleh menghubungi kementerian-kementerian melalui telefon yang akan disalurkan kepada petugas yang bekerja dari rumah, menghantar e-mel dan penyediaan drop-box bagi penghantaran dokumen secara fizikal.

Bagi orang ramai yang benar-benar perlu datang dan berjumpa secara langsung (bersemuka) dengan mereka, bolehlah menghantar e-mel atau menghubungi kementerian berkaitan untuk memohon membuat perjumpaan, tertakluk kepada ketersediaan setiap kementerian.

Mereka bagaimanapun perlu mengajukan sebab dan alasan kenapa mesti membuat perjumpaan tersebut.