Khamis, November 20, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tidak rayu pemberian khas 40% bukti Anwar faham aspirasi rakyat Sabah

    KOTA KINABALU, 11 NOV – Keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan dengan pemberian khas 40 peratus Sabah menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memahami harapan dan aspirasi rakyat Sabah.

    Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata keputusan itu juga mencerminkan komitmen tulen Anwar untuk menegakkan hak Sabah yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

    Justeru, beliau berkata Kerajaan Sabah menyampaikan penghargaan kepada Anwar dan Jemaah Menteri atas keputusan itu yang mengesahkan semula hak perlembagaan Sabah terhadap pemberian khas 40 peratus.

    “Dalam pertemuan dan perbincangan saya dengan Perdana Menteri, saya telah menyatakan pendirian tegas kerajaan negeri bahawa hak perlembagaan Sabah mesti dihormati, diiktiraf dan dilaksanakan.

    “Keputusan untuk tidak membuat rayuan ini mencerminkan hubungan kerja yang kukuh antara kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Putrajaya,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Pada 17 Oktober lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan bagi 1974 hingga hingga 2021.

    Hajiji turut berkata kerajaan negeri bersedia untuk terus berunding secara konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan. – Bernama

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor (dua, kiri), di Magellan Sutera, pada 8 November. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda