Tuesday, May 13, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tidak sangka dapat ‘durian runtuh’

    NEW YORK – Siapa sangka bidaan sebanyak AS$15,000 yang dibuat ejen seni ke atas unit storan di New Jersey yang dianggap menyimpan barang terpakai, rupa-rupanya ialah urus niaga sekali seumur hidup.

    Namun kini dia percaya unit yang berjaya dibida itu turut menyimpan enam lukisan seniman besar abstrak berbangsa Belanda-Amerika, Willem de Kooning, yang mungkin bernilai jutaan dolar.

    Rekod lelongan untuk karya de Kooning ialah AS$66.3 juta yang dicatatkan oleh kanvas besar ‘Untitled XXV’ di rumah lelongan Christie pada 2016, manakala karya lain dijual secara persendirian dengan harga dilaporkan AS$300 juta pada 2015.

    Menurut pemilik galeri New York, David Killen, selain karya de Kooning, turut ditemui dalam unit berkenaan ialah lukisan seniman modenis Swiss, Paul Klee.

    Karya itu asalnya dari studio Orrin Riley, bintang dalam perniagaan pemulihan seni yang meninggal dunia pada 1986 dan mewariskan semua kekayaan kepada pasangannya, Susanne Schnitzer, yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya pada 2009.

    David Killen (kanan) tidak menyangka bahawa dia akan menemui karya lukisan de Kooning asli daripada acara rumah lelongan. – Agensi
    Salah satu daripada lukisan Willem de Kooning yang dikatakan terdapat di dalam lokar simpanan yang terbengkalai. – Agensi

    Wasi kepada Schnitzer, kenalan di New Jersey, menghabiskan masa bertahun-tahun untuk mencari pemilik sebenar kepada hasil seni itu tetapi tiada seorang pun yang tampil untuk menuntut 200 karya yang tersimpan di unit penyimpanan yang terletak berhampiran kawasan perbandaran Ho-Ho-Kus.

    “Jujurnya apa yang saya tahu sebuah rumah lelongan mengabaikannya. Jadi saya merasakannya ia merupakan barangan terpakai.

    “Semua benda berada di dalam kotak. Saya hanya berkata: ‘Baiklah, saya bida dengan AS$15,000’,” kata Killen yang menjangkakan barangan itu akan dilelong pada acara lelo-ngan dwibulanannya.

    Hanya selepas barangan itu dibongkar, barulah dia menyedari ia merupakan lukisan de Kooning.

    Karya itu tidak ditandatangani tetapi Killen berkata bahawa barangan yang tersimpan di Long Island itu adalah asli.

    “Saya dapat saksikan sendiri,” dia memberitahu AFP.

    “Dia berkata: ‘inilah yang dilakukan oleh de Kooning pada dekad 1970-an, satu demi satu,” katanya.

    Pemulihara seni, Lawrence Castagna, berkata dia ‘betul-betul’ percaya enam catan itu hasil karya de Kooning tetapi menekankan ia hanyalah ‘pendapat peribadi.’

    Castagna berkata dia melakukan pembaikan kecil tetapi karya itu akan dijual seperti ia ditemui dan menjangkakan akan menarik minat yang signifikan apabila ia dipamerkan untuk khalayak buat kali pertama dalam tempoh hampir 35 tahun.

    Killen akan menganjurkan acara tersebut pada bulan ini untuk mempamerkan lukisan yang dipercayai akan menarik bidaan antara AS$10,000 hingga AS$10 juta apabila ia ditawarkan dalam bidaan yang mungkin dilakukan pada tahun ini dan Januari depan.

    “Saya merasa teruja. Percaya atau tidak dan orang ramai akan ketawa apabila mendengarkan ini, ia bukan mengenai wang. Saya mahu sedikit publisiti untuk rumah lelongan saya,” katanya.

    Dengan cek bonanza ini, apakah yang akan dilakukannya? Mungkin pintu baharu untuk galerinya dan ‘apartmen yang cantik,” jawabnya.

    New York Post pertama kali melaporkan kisah mengenainya baru-baru ini. Sejak itu, telefonnya tidak berhenti berdering, katanya. “Reaksi yang diterima adalah sungguh luar biasa.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda