Assalamualaikum, saya nak cerita sedikit tentang rasa penyesalan yang saya tanggung kerana saya tak sempat hargai kasih sayang yang nenek beri kepada saya selama ini.
Saya masih ingat hari itu dengan jelas, meskipun sudah berlalu beberapa tahun yang lalu.
Nenek saya, seorang wanita tua yang selalu ceria itu, memasak untuk saya seperti biasa. Dia buatkan lauk kegemaran saya, ikan goreng, sayur tumis dan nasi hangat.
Tapi saya, saya tidak makan. Bukan kerana saya tidak lapar, tapi kerana saya rasa geli dengan cara dia masak. Nasi itu kadang-kadang melekat, ikan goreng itu tidak begitu rangup, dan sayur tumisnya ada bau yang pelik bagi saya.
Saya buat muka masam dan nenek hanya tersenyum, cuba menyuapkan untuk saya, tapi saya tolak.

Beberapa hari kemudian, nenek pergi ke bandar seorang diri. Saya tidak tahu apa yang dia rancang, tapi dia pulang dengan sebuah beg kecil yang kelihatan berat.
Dia tersenyum sambil menyerahkan hadiah itu kepada saya, sehelai baju baru dan coklat kegemaran saya. Saya lihat baju itu dengan sambil lewa, saya ambil coklat itu dan letak di tepi.
Saya tidak berkata apa-apa dan nenek hanya tersenyum lagi, dengan mata yang sedikit sedih tapi tetap lembut.
Sekarang, bila saya fikir balik, saya rasa bersalah. Nenek pergi jauh seorang diri, naik bas yang penuh sesak, melawan panas dan penat semata-mata untuk membelikan saya sesuatu.
Dia tidak mengadu, tidak minta balasan, cuma ingin melihat saya gembira.
Tapi saya, dengan ego dan saya tak hargai usaha itu. Saya tak pernah terfikir bahawa di sebalik senyuman nenek itu, ada pengorbanan yang besar.
Saya rasa malu bila ingat bagaimana saya menolak makanannya, bagaimana saya anggap hadiah itu remeh. Sekarang saya sedar, kasih sayang nenek itu tidak ternilai.
Tapi semuanya sudah terlambat, nenek saya sudah pergi buat selama-lamanya dan saya tak akan pernah dapat peluang untuk meminta maaf kepadanya.
Amir
NASIHAT DANG MP –
Terima kasih Amir kerana berkongsi kisah yang amat menyentuh hati. Penyesalan seperti ini memang sakit, terutama bila ia melibatkan seorang insan tua yang selama ini mencurahkan kasih sayang tanpa syarat.
Kadang-kadang, semasa muda, kita tanpa sedar bahawa setiap perkara kecil yang nenek lakukan seperti masakan yang tak sempurna, hadiah yang sederhana, senyuman yang tak pernah pudar adalah sebenarnya bahasa cinta yang paling tulus. Apa yang awda lalui bukan kesalahan besar yang disengajakan.
Ramai antara kita dibesarkan dengan menganggap kasih sayang nenek dan datuk itu sentiasa tersedia, sentiasa ada.
Kita fikir mereka akan terus bersama kita esok, lusa dan seterusnya.
Penyesalan yang dirasai bukanlah bukti Amir adalah cucu yang tak baik tetapi bukti bahawa Amir sekarang lebih matang, lebih menghargai dan lebih faham makna kasih sebenar.
Walaupun nenek sudah tiada, kasih sayang dia tetap melekat dalam diri Amir melalui ingatan dan mengajar Amir supaya menjadi lebih peka selepas ini.
Kadang-kadang, memaafkan diri sendiri adalah satu bentuk penghormatan kepada orang yang kita sayang.
Apa yang Amir boleh lakukan adalah sentiasa ingati nenek dan mendoakan kesejahteraannya.
Di samping itu, hargailah ahli-ahli keluarga dan orang di sekeliling Amir yang masih ada.
