Penampilan pelakon Malaysia, Nora Danish, 43, yang kini berhijab dan sangat sopan setiap kali tampil di pelbagai majlis nampaknya meraih maklum balas positif ramai.
Bagaimanapun, Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif akui timbul rasa khuatir apabila penampilannya itu dihakimi sehingga dilabel munafik.
“Dalam proses penghijrahan, saya tak nak sangat orang nampak saya ini suci, alim. Itu yang paling saya takut sebab nanti apabila saya melakukan satu kesalahan orang akan menilai kita munafik dan sebagainya.
“Saya pun memang dalam proses untuk menjadi yang lebih baik. Tidaklah sempurna tapi lebih baik, itu sahaja yang saya nak sangat,” katanya, menurut Harian Metro.
Dilihat kerap menghadiri majlis ilmu agama, pelakon Bukan Cinta Malaikat itu mengakui masih berusaha perbaiki diri menjadi Muslimah yang terbaik.
Nora mula tampil berhijab sekitar Jun tahun lalu. Dia memberitahu memang sudah lama pasang niat untuk berhijrah dan memohon doa ramai agar dia kekal istiqamah.
“Saya buat keputusan ini tanpa desakan atau paksaan sesiapa. Saya sendiri yang memilih untuk berhijab kerana usia saya pun bukan muda lagi.
“Saya percaya setiap wanita yang belum berhijab pun pasti ada keinginan yang sama.
“Apapun terima kasih kepada semua yang mengambil berat dan mendoakan saya,” katanya. – Agensi