Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Sambungan minggu lalu
Keadaan keempat: Kanak-kanak yang belum mukallaf
Menurut ulama, ucapan salam kepada kanak-kanak yang belum mukallaf yakni belum baligh adalah tidak wajib dijawab bahkan hanyalah sunat sahaja kanak-kanak itu menjawabnya dan sebagai menjaga adab.
Sekiranya seseorang memberi salam kepada sekumpulan orang baligh yang bersama mereka itu terdapat kanak-kanak yang belum mukallaf, lalu kanak-kanak yang belum mukallaf itu sahaja yang menjawab salam tersebut, maka menurut al-Qadhi Hussain, Imam al-Mutawalli, Imam ar-Rafi‘i Rahimahumullah dan lain-lainnya, tidak gugur tuntutan menjawab salam itu bagi orang-orang lain yang mukallaf dalam kumpulan tersebut.
Adapun ucapan salam daripada kanak-kanak yang belum baligh kepada orang yang sudah baligh pula, menurut pendapat as-shahih (yang sahih) sepertimana yang dinukilkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullah dalam kitab al-Azkar, al-Majmu‘ dan Raudhah ath-Thalibin, wajib bagi orang yang sudah baligh itu menjawab salam yang diberikan oleh kanak-kanak itu.
Keadaan kelima: Salam daripada ahli bid‘ah, orang yang dengan terang-terangan melakukan kefasiqan dan pembuat dosa besar yang belum bertaubat.
Menurut pendapat al-ashah (yang paling shahih) sepertimana yang disebutkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullah, ucapan salam daripada ahli bid‘ah, orang yang dengan terang-terangan melakukan kefasiqan dan pembuat dosa besar yang belum bertaubat adalah tidak wajib dijawab.
Begitu juga tidak disunatkan memberi salam kepada mereka, bahkan adalah disunatkan untuk tidak memberi salam ke atas mereka sebagai satu simbol herdikan, kecaman, celaan dan menunjukkan perasaan tidak redha dengan perlakuan mereka. Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata: “Ini adalah mazhab Abdullah bin ‘Amr Radhiallahu ‘anhuma dan Imam al-Bukhari Rahimahullah pengarang kitab Shahih al-Bukhari”.
Keadaan keenam: Salam daripada orang yang hilang akal atau hilang sifat mumaiyiznya
Menurut ulama, ucapan salam daripada orang yang hilang akalnya atau hilang sifat mumaiyiznya kerana sesuatu penyakit atau sesuatu sebab seperti gila, mabuk dan sebagainya adalah tidak wajib dijawab.
Demikian beberapa penjelasan mengenai keadaan-keadaan yang tidak diwajibkan menjawab salam padanya. Mudah-mudahan penjelasan ini akan menambahkan lagi kefahaman kita tentang perkara-perkara ugama khususnya tentang permasalahan menjawab salam.
