Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tidak sengaja

    (Siri 1)

    Oleh Dino MN –

    Hari yang begitu baik dengan cuaca cerah, dia melangkah keluar rumah untuk meneruskan aktiviti kerja pembinaan di tapak projek di Kampung Lugu. Dia sampai di roundabout langsung ke kiri memasuki Jalan Kibah. Kira-kira melintas dua buah rumah kembar barulah dia sampai di tapak projek pembinaan.

    Sebuah rumah kembar dua untuk tambahan sebuah bilik yang luasnya kira-kira 15’×15′ persegi. Kebenaran telah pun diluluskan oleh pihak berkuasa. Sesampai saja dia di tapak projek tiga orang pekerjanya datang memunggah barang binaan yang dibawanya.

    “Simen hanya tinggal lima beg pak bos,” lapornya.

    “Ok nanti lewat tengah hari saya minta pembekal hantarkan ke sini. Tapi masih cukupkan sementara simen belum datang”.

    “Cukuplah pak bos,” katanya memberi jaminan. Dia terus saja bergegas beredar dari situ setelah semua barang binaan diturunkan dari keretanya.

    Norhana menguruskan kereta yang dilanggarnya untuk dibawa ke bengkel kereta yang terbaik. – Freepik
    Gambar Freepik

    Dia singgah di kedai hardware bagi membeli simen dan barang binaan lain yang dipesan oleh pekerjanya tadi. Selesai urusan pembayaran dia terus menuju ke kereta Pajero miliknya untuk menghantar secepatnya di projek binaannya di Kampung Lugu.

    Dalam perjalanannya dia singgah di sebuah kedai runcit untuk membeli sedikit kuih yang ada dijual di situ.

    “Lebih baik aku makan dulu kuih ini untuk menunda lapar…aku pun belum sarapan tadi,” katanya sambil membuka pintu kereta dan terus masuk. Dia terus membuka bungkusan kuih bingka kesukaannya dan satu tin minuman kopi Mr. Brown yang juga kegemarannya untuk minum.

    “Alhamdulillah…syukur…,” katanya sendirian setelah menghabiskan sarapannya. Dia mula hendak pergi untuk menghantar barang binaan ke projeknya.

    Tidak berapa jauh dia meninggalkan kedai tempatnya membeli kuih dan minuman, seperti bunyi guruh yang kuat menimpa keretanya dan keretanya terbabas ke longkang.

    Dia berusaha keluar sambil dibantu beberapa warga yang menyaksikan kejadian kemalangan itu. Nasibnya teramat baik tiada kecederaan pada anggota badannya.

    Kereta yang menabrak keretanya juga ditakdirkan tidak mengalami kecederaan fizikal.

    Pemandunya keluar sendiri kerana keretanya hanya mengalami sedikit kerosakan bahagian depan.

    “Syukur alhamdulillah pak cik tidak apa-apa,” kata seorang warga yang ikut menolong dia keluar dari keretanya.

    “Terima kasih kamu semua kerana telah menolong saya,” katanya kepada semua warga yang menolongnya.

    “Kereta pakcik macam mana?,” tanya seorang lagi sambil menunjuk ke arah keretanya.

    “Sudah saya uruskan untuk menarik kereta pakcik keluar dari longkang,” kata pemandu kereta yang melanggar tadi. Semua mereka menoleh ke arah perempuan muda yang bersuara tadi.

    “Saya yang bertanggungjawab kerana menyebabkan kemalangan ini,” jelasnya kepada warga yang membantu tadi.

    “Pandangan mereka tertumpu ke arah wanita muda sekitar usia tiga puluhan itu. Pakaiannya rapi cantik berkulit cerah”.

    “Pak haji tidak mengapa-ngapa…tidak cedera atau terasa sakit…jika terasa sakit saya tolong bawakan ke hospital”.

    “Tidak…” Dia hanya menjawab pendek. Sebentar itu juga sebuah kereta penarik sampai untuk mengeluarkan keretanya dari longkang.

    “Mau ke mana kereta saya dihantar?” tanyanya kepada wanita yang melanggar keretanya.
    “Saya arahkan dihantar ke bengkel kereta yang terbaik pak haji…”

    “Saya tidak ada duit yang cukup untuk membaiki kerosakan kereta saya tu,” jelasnya penuh keraguan.

    “Pak haji tak usah risau, semuanya saya yang tanggung”. Dia angguk kepala walaupun rasa risaunya tetap ada di fikirannya.

    Selesai keretanya dikeluarkan dari longkang, tidak berapa lama selepas itu sebuah kereta penarik datang lagi. Keretanya dan kereta perempuan muda yang melanggar itu pun dinaikkan ke atas kereta penarik tersebut.

    Kedua-dua kereta mereka pun dibawa dan dihantar ke bengkel untuk diperbaiki.

    “Berapa lama kiranya kereta saya boleh siap?” tanyanya kepada perempuan muda tersebut.

    “Tidak lama…mungkin bolehlah siap dalam seminggu”.

    “Jika seminggu susahlah…saya tidak ada kereta untuk jalan ke tempat kerja saya.”

    “Pak haji, mun saya tanya pak haji buat keraja apa?” tanyanya kerana dalam jangkaannya pak haji ini sudah tua dan bahkan sudah pencen pun.

    “Saya kerja membina bangunan…tadi dalam keretaku ada barang-barang yang akan dihantar ke tapak projek…” katanya dengan raut muka yang gelisah takut barang-barang tersebut berserakan dalam keretanya.

    “Nantilah saya akan suruh pekerja bengkel kereta tersebut menyelamatkan barang-barang dalam kereta pak haji”. Suasana sepi seketika dan perempuan muda itu sempat melirik ke arahnya.

    “Seorang tua yang penyabar…” katanya jauh di dalam lubuk hatinya.

    “Saya hanya membuat kerja kecil-kecil,” katanya memecah sunyi.

    “…dapatlah sedikit lebih…mau juga rasanya mengambil tender besar, tapi model juga harus besar…itu yang saya tidak mampu.”

    “Soal model tidak perlu besar pun…pak haji boleh mulai dengan model seadanya untuk memulakan satu projek yang sederhana besar.”

    “Saya tak mau memikul beban yang tak terpikul oleh bahu saya,” katanya. Seketika itu juga telefon bimbitnya berbunyi. Dia terus menjawab.

    “Abang, mengapa sudah petang begini belum balik?” tanya isterinya. Mungkin juga dia risau sebab selalunya dia tidak pernah lambat balik daripada melawat pekerjanya.

    “Abang lagi ada urusan tentang kereta abang…tadi ada sedikit kerosakan sebab terlibat dengan kemalangan…”

    “Jadi abang tak apa-apakah…?” sampuknya belum pun suaminya habis bercakap.

    “Tidaklah…cuma kereta abang saja yang rosak…ini pun abang berada di workshop.”

    “Syukurlah bang…” dia terdengar nada suara isterinya yang merasa bimbang.

    “Okeylah…nanti selesai urusan di workshop abang terus balik,” katanya terus mematikan telefon bimbitnya.

    “Jadinya Ana…maaf pak haji…nama saya Norhana…panggil saya Ana saja. Untuk pak haji saya pinjamkan kereta saya untuk pak haji ke projek.”

    “Tak usah Ana, sementara ini saya rehat saja menunggu kereta saya dibaiki.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda