Monday, March 10, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tidak sengaja

    (Siri 10)

    Oleh Dino MN

    Percakapan di meja no. 13 menjadi hangat. Perjumpaan biasa bagi mereka yang suka melepak. Dua atau tiga cangkir kopi atau teh bersilih ganti selagi mereka masih melepak di situ.

    “Itu cuma khabar angin belum tentu kebenarannya,” kata lelaki kedua setelah lelaki ketiga menceritakan khabar yang dia perolehi.

    “Khabar ini jelas daripada anak buahnya Bin Esmit…katanya Bin Esmit yang melaporkan kecurigaannya kepada Biro Rasuah tentang kekayaan Pak Haji,” jelas lagi lelaki kedua itu.

    Tiga minggu yang lalu Pak Haji dipanggil oleh Biro Rasuah untuk diambil keterangan tentang dakwaan memiliki harta yang berlebihan.

    Pak Haji memiliki tiga buah kereta mewah. Sebuah kereta Toyota Vellfire, sebuah kereta Toyota Hilux dan sebuah kereta Pajero yang nampak mewah setelah diubah suai.

    Pak Haji bersama keluarganya berkumpul sambil berbincang tentang siasatan biro kerana didakwa memiliki harta yang berlebihan. – Agensi
    Gambar Unsplash

    Lebih empat jam Pak Haji disoal siasat oleh pegawai biro. Pak Haji juga menjelaskan yang semua kenderaannya itu untuk kegunaan sendiri dan dibeli dengan duit sendiri.

    Di bilik no.2, Hamidon juga disoal siasat berkenan dengan dakwaan memiliki wang simpanan yang hampir mencecah sembilan ratus ribu.

    Semua itu dijawap dengan jelas oleh Hamidon bahawa wang itu pemberian bapanya daripada hasil pelaburan dan aktiviti kontraktor bapanya di luar negara.

    Satu sen pun dia tidak pernah mengeluarkannya sebab akaun bank tersebut disimpan oleh bapanya Pak Haji.

    “Adik kelmarin ditanya, berapa jumlah wang dalam akaun adik,” kata Said, adik bungsu kepada Hamidon dan Jalia.

    “Adik jawab apa?,” tanya Jalia ingin tahu. Sebab dia pun ditanya pertanyaan seperti itu.

    “Adik cakap tak tahu…jika mau tahu kata adik, tanya pada bapa,” kata Said dengan nada sedikit geram.

    “Jadi apa katanya?”

    “Dia tamparlah muka…,” belum pun habis Said bercerita, Jalia kakak Said bangun meraba muka adiknya.

    “Bukan muka adiklah kak…muka mejalah,” Said ketawa melihat gelagat kakaknya yang gegabah seketika.

    Sebuah kereta Toyota Alphard masuk halaman rumah Pak Haji. Said menjenguk ternyata Norhana yang datang.

    “Ana yang datang kak,” kata Said memberitahu kakak Jalianya. Norhana terus saja masuk ke rumah bapa angkatnya.

    “Ohhh kakak Jalia sama abang Said ada di sini.”

    “Ana dari mana ni?,” tanya Jalia pada adik angkatnya.

    “Ada sedikit masalahlah kak…,” jelas Ana pendek. Said terus menceritakan masalah yang mereka hadapi yang sangat menakutkan itu.

    “Ana sudah tahu bang Said…pasal nilah Ana ke mari mau tahu daripada bapa lagi,” kata Norhana. Hamidon telah memberitahu Norhana hal tentang keluarganya.

    “Abang Midon yang bagitau Ana hal ini, katanya dia juga mau kemari…” Setelah beberapa minit dari kedatangan Norhana, Hamidon pula sampai.

    Mereka semua sekarang sudah berkumpul di rumah Pak Haji.

    Sementara itu, Bu Hajah Maidah menyiapkan masakan untuk makan mereka semua.

    Setelah mereka berbincang agak lama menyatakan kegusaran masing-masing, Norhana mendengar dengan tenang saja seolah-olah tiada apa yang berlaku pada keluarga angkatnya.

    “Ana minta maaf pada mama, bang Midon, bang Said juga kak Jalia kerana tidak memberitahu hal sebenarnya.”

    Ana memulakan cakapnya setelah mendengar ketakutan mereka bila disoal siasat oleh pihak biro rasuah.

    “Sebenarnya buku akaun bank kita semua Ana yang simpan. Masa Ana ke Dubai dulu Ana telah memberi beberapa saham pelaburan Ana di sana kepada bapa, mama, bang Midon, bang Said dan kakak Jalia,” Norhana berhenti sejurus sambil membuka beg yang berisi
    dokumen dan buku akaun keluarga angkatnya.

    Norhana juga menceritakan bahawa syarikat Pak Haji yang modalnya kecil itu telah dikembang besarkan modelnya jutaan ringgit yang disuntik dari dana syarikat Al-Hana kepunyaan Norhana kepada syarikat Pak Haji dan syarikat Pak Haji yang sudah mempunyai modal yang besar itu telah berjaya memperoleh projek besar di Dubai dalam pembinaan hartanah.

    Semua itu telah diuruskan oleh peguam Norhana. Sekarang ini syarikat Pak Haji dan Norhana yang di Dubai diuruskan oleh seorang pengarah urusannya sambil diseliakan oleh seorang peguam yang berada di tingkat atas di carta peguam dunia.

    “Bapa dan mama tidak perlu takut. Bang Midon, bang Said dan kakak juga jangan bimbang. Kes ini nanti akan diselesaikan oleh peguam Ana.”

    Kesemua keluarga angkatnya merasa senang mendengar akan dibela oleh seorang peguam yang terbaik.

    “Peguam Ana akan datang minggu depan…Ana sudah minta dia mengambil tau siapa yang membuat masalah ini.

    Jika dia dapat mengenal pasti orangnya senanglah nanti,” kata Ana sambil menyerahkan buku akaun berserta dokumen mengenai kewangan mereka.

    Semuanya tercatat dengan jelasnya. Barulah Said, Jalia, Hamidon dan mama mereka nampak jumlah sebenar wang mereka dalam akaun itu.

    Pak Haji sudah tahu jumlah wang di akaunnya sebab Norhana yang memberitahu kepadanya.

    “Bagiku biarkan Ana saja yang simpan buku akaun aku tu…takut juga sebab belum pernah mempuyai duit sebanyak itu,” kata Said pada adik angkat mereka. Ana angguk kepala tanda setuju.

    “Kita tunggu saja kedatangan peguam Ana dalam minggu ini. Sementara peguam Ana belum datang Ana akan ke Pejabat Biro insyaAllah,” ujarnya.

    Bersambung

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda