Friday, April 18, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tidak sengaja

    (Siri 12)

    Oleh Dino Mn –

    Norhana baru saja sampai dari Qatar setelah transit beberapa jam di Kuala Lumpur. Dari lapangan terbang dia terus ke rumah bapa angkatnya, kerana ingin tahu khabar lanjut dari kejadian tiga hari lalu. Semasa transit di Kuala Lumpur, Norhana telah pun menghubungi adik-beradik angkatnya supaya menunggu di rumah kerana ia akan terus ke sana. 

    Setibanya di rumah pak haji, dia sudah ditunggu oleh ahli keluarga angkatnya. Bu Hajah Maidah menyambut Norhana di muka pintu dan mempersilakan Norhana masuk. Semua abang, kakak angkatnya gembira dengan kedatangan Norhana.

    “Jadi apa yang pihak polis dapati dari rakaman CCTV di supermarket itu?,” tanya Norhana ingin tahu.

    “Jelas sekali yang melakukan kerja itu ialah tuan Bin Esmit,” jelas Said pada Norhana dengan sedikit muka geramnya.

    “Jadi apa tindakan bapa?”

    Lelaki pertama bersama lelaki kedua dan lelaki ketiga berkumpul di meja bulat no.13 dan memesan minuman. – Agensi
    Norhana baru saja sampai dari Qatar setelah transit beberapa jam di Kuala Lumpur. – Freepik

    “Bapa sudah membuat laporan polis setelah pihak polis memberitahu pelaku sebenarnya,” kata Jalia pada Ana.

    “Oklah kita tunggu panggilan daripada polis seterusnya,” kata Norhana sambil bangun dari duduknya dan keluar menuju ke keretanya untuk mengambil ole-olenya dari Kuala Lumpur. Setelah lama mereka berbual Norhana mohon diri dulu kepada keluarga angkatnya untuk balik.

    Seminggu berlalu, sekarang di meja no. 13, lelaki pertama bersama lelaki kedua dan lelaki ketiga sudah pun berkumpul dan memesan minuman. Azis menyusul kemudian dan sudah pun duduk. Dia terus memesan minuman biasa baginya.

    “Habislah tuan Bin Esmit kali ini…seratus persen dia bersalah.

    “Belum dapat dibuktikan lagi,” kata lelaki ketiga pendek. 

    “Sudah terbukti dari CCTV kawasan letak kereta itu yang melakukan adalah tuan Bin Esmit…kali ini dia tidak dapat berdalih lagi,” kata Azis menyanggah hujah lelaki ketiga. 

    “Saya pun dengar begitu. Tapi pekerja tuan Bin Esmit menafikan hal itu,” lelaki pertama  bersuara.

    “Minggu lepas saya dengar tuan Bin Esmit dipanggil hadir ke balai polis di ibu negara  untuk diambil keterangan berhubung dengan kejadian pecah kereta kepunyaan pak haji. 

    “Tuan Bin Esmit mengatakan tidak mungkin dia melakukannya kerana dia masa itu berada di supermarket tersebut dan sempat berjumpa dengan pak haji di situ,” kata Azis menjelaskan.

    “Mana ada penjahat mengaku…

    “Pihak polis memberitahu rakaman CCTV jelas pelakunya adalah tuan Bin Esmiat, tapi dia tidak mengaku.

    “Memang dasar hati yang busuk…jelas-jelas rakaman CCTV pun tidak mahu mengaku,” kata Azis menampakkan mukanya yang geram.

    “…sudah tu mau lawan di mahkamah pula…apalah namanya manusia seperti itu,” sambung Azis lagi.

    “Mengikut keterangan polis, tuan Bin Esmit secara sengaja menghampiri kereta pak haji dan memecahkan cermin depan kereta mewah pak haji Toyota Vellfire,” kata lagi Azis sambil bangun hendak pergi…

    “Eeee! Mau ke mana  Azis?,” tanya lelaki kedua sambil memegang tangan Azis supaya jangan balik.

    “Mau ke tandas dulu…”

    Hassan yang baru saja datang ke restoran itu untuk minum dipanggil oleh lelaki pertama duduk semeja bersama mereka di meja no.13. Hassan terus saja menerima pelawaan lelaki pertama dan terus bersalaman dengan mereka dan duduk di samping lelaki kedua.

    “Apa khabar Hassan…lama juga tidak datang ke sini,” lelaki ketiga menyapa Hassan bertanya khabarnya.

    “Lama menghilang ke mana?,” sambungnya lagi.

    “Bercuti keluar negara membawa keluarga semuanya,” jawap Hassan.

    “Wah belanja besar. Berapa lama…ke KK atau ke Kucing?” 

    “Ke Singapura saja selama seminggu membawa keluarga, anak dan cucu-cucu semasa musim cuti sekolah hari tu.”

    “Patut tiada beritanya…belanja besarlah maklum Singapura wang kita sama nilai…barangan pula semuanya mahal-mahal,” Azis menyampuk setelah duduk semula.

    “Ada orang yang sponsor untuk keluarga saya semuanya,” terkejut juga lelaki pertama, kedua dan lelaki ketiga mendengar cakap Hassan itu. Semua mereka mau tahu siapa yang bermurah hati membiayai mereka ke Singapura.

    “Beritahu kami Hassan, siapa hamba Allah yang bermurah hati memberi sponsor tu,”  kata Azis lagi ingin tahu.  Semua mereka terdiam ingin mendengar penjelasan dari Hassan.

    Hassan pun menceritakan kepada mereka bahawa pak haji yang memberikan sponsor itu kepadanya sekeluarga. 

    “Saya pada mulanya terkejut dan tidak begitu percaya apa yang diberikan oleh pak haji. Dia memberikan sekeping wang bernilai 10 ribu ringgit kepada saya,” jelas Hassan.

    Mengikut cerita Hassan lagi kata pak haji untuk dirinya bercuti bersama keluarganya ke Singapura.

    “Bukan itu saja semasa di lapangan terbang dia memberi lagi duit belanja tambahan 5 ribu ringgit lagi,” Hassan berhenti bercerita seketika sambil minum kopinya.

    “Wah!!! durian runtuh kau Hassan,” kata lelaki ketiga. Hassan terus menceritakan semasa dia di Singapura dia juga menginap di sebuah hotel mewah di kawasan berhampiran dengan Hotel Hayyat.

    “Semua perbelanjaan diberi percuma…rupanya hotel mewah itu dipunyai oleh pak haji sendiri.”

    Semua mereka ternganga tercengang mendengar cerita Hassan.

    “Pak haji amat baik hati,” kata Hassan.

    “Tapi ada juga orang yang busuk hati kepadanya,” kata lelaki ketiga. 

    “Menabur fitnah dan ada yang tergamak merosakkan harta kepunyaan pak haji.”

    “Siapa manusianya yang berhati busuk itu?” tanya Hassan kepada mereka.

    “Orang inilah yang juga membuat laporan ke Biro Pencegah Rasuah tentang harta…duit pak haji yang banyak itu dikatakannya diperoleh dari aktiviti rasuah, dari projek yang diperoleh secara tak sah.”

    “Orang inilah juga yang merosakkan harta pak haji,” sampuk lelaki pertama lagi.

    “Siapa…? Mengapa pula berlaku macam itu?” tanya Hassan ingin tahu.

    “Kerana sifat hasat dengki, tidak mahu kekayaannya dikalahkan oleh orang lain.”

    “Siapa orangnya yang berhati busuk itu?…”

    Kata Hassan kerana dia belum tahu pelakunya berbanding dengan lelaki pertama, lelaki kedua, lelaki ketiga…

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda