Tuesday, April 8, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tidak sengaja

    (Siri 14)

    Oleh Dino MN – 

    Kes Tuan Bin Esmit kerana merosakkan harta awam iaitu kereta Pak Haji sudah selesai.

    Dalam fakta kes tersebut sebelum dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan, Tuan Bin Esmit telah meminta agar kes itu diselesaikan di luar mahkamah.

    Walaupun Tuan Bin Esmit memohon diselesaikan secara aman di luar mahkamah, tetapi Said anak bungsu Pak Haji mengambil jalan lain untuk menyedarkan Tuan Bin Esmit melalui peguam syarikat Pak Haji, Yang Arif Tuan Halim Yusuf dengan meminta wang ganti rugi kerana telah mencemarkan nama baik keluarga Pak Haji, memfitnah kononnya keluarga Pak Haji mempunyai harta yang tidak sah.

    Peguam Yang Arif Tuan Halim Yusuf telah menentukan kadar yang berpatutan dengan nilai sebanyak 1.5 juta ringgit sebagai ganti rugi am dan ganti rugi mencemarkan reputasi syarikat mereka.

    “Baru dia sedar diri bahawa langit itu tinggi dan rumput di bumi yang dipijaknya itu lebih mulia darinya,” kata lelaki pertama dengan sedikit geram di hati.

    Tukang kebun pak haji sedang menyiram pokok bunga. – Agensi
    Tuan Bin Esmit tidak berupaya membayar saman yang dituntut oleh keluarga pak haji yang bernilai 1.5 juta. – Agensi

     

    “Jadi apa kata Tuan Bin Esmit bila disaman begitu banyak?,” tanya lelaki ketiga pula.

    “Terpaksa bayar saman tersebut…dalam tempoh enam bulan,” kata Azis sambil menghirup kopi kaw kurang manisnya.

    “Tidak jadi masalah bagi Tuan Bin Esmit membayarnya…dia punya duit banyak,” kata lelaki kedua lagi.

    Di rumah Pak Haji, bu Hajah Maidah baru saja selesai membuat kerjanya membersihkan beranda rumahnya. Tukang kebunnya pula memelihara tumbuhan bunga dan menyiram pokok bunga tersebut.

    Selesai mengerjakan kerja-kerja rumahnya, bu Hajah Maidah masuk ke ruang dapur untuk membuat minuman.

    Pak Haji duduk relaks membaca Media Permata, surat khabar terkemuka di Brunei.

    Beberapa potongan termasuk berita tentang sindiket pengedaran dadah telah dapat ditumpaskan.

    Di meja bulat no.13 lima orang telah pun duduk dan telah pun memesan hidangan untuk mereka.

    “Tuan Bin Esmit tidak berupaya membayar saman yang dituntut oleh keluarga Pak Haji yang bernilai 1.5 juta,” kata lelaki ketiga.

    “Tempoh enam bulan untuk melunaskan bayaran saman 1.5 juta sudah tamat…Tuan Bin Esmit memohon lagi kelonggaran, mahkamah memberikan lagi enam bulan, tapi Tuan Bin Esmit tidak dapat melunaskannya,” kata lelaki pertama menyampuk.

    “Tuan Bin Esmit pasti terduduk, mata terbeliak, nafas berdetak-detak…menunggu rebah tersungkur ke bumi,” sampuk lelaki kedua. Semua mereka ketawa terbahak-bahak.

    Pelanggan yang lain ada yang ikut ketawa tapi apa benda mereka tidak tahu…orang ketawa mereka pun ketawa.

    “Oiii…tak baiklah mentertawakan orang yang tersungkur, kasihan juga, sepatutnya kita beri dia semangat biar dia bangkit kembali,” kata Azis menyedarkan kawan-kawannya.

    “Yalah tu, jika perlu kita bimbing tangannya biar dia bangkit kembali,” kata Hasan yang pernah menerima sponsor percuma dari Pak Haji yang kaya lagi dermawan itu.

    “Mungkin saja tidak sampai setahun ini Tuan Bin Esmit sudah lupus dari dunia bisnis tanah air setelah mendapat sijil kebankrapan”.

    “Doiii…kasihan Tuan Bin Esmit, tinggal kenangan dan nama yang buruk,” kata lelaki kedua.

    “Bisnis maju mencapai awan pada akhirnya gugur bertaburan di bumi…,” lelaki ketiga menyampuk.

    Saat meja bulat no.13 masih hangat mempersoalkan hal-hal semasa, Norhana pula telah menerima panggilan daripada wakil CEOnya di London. Di London sebuah syarikat Norhana berkecimpung di dunia pelaburan yang dibina oleh bapanya semasa bapanya bertugas di sebuah syarikat gali minyak terbesar di sana. Kini syarikat itu telah dimiliki oleh Norhana setelah bapanya meninggal.

    “Tujuan Ana ke sana adalah untuk urusan pembelian sebuah apartment di Scotland…” kata Norhana kepada bapa angkatnya Pak Haji.

    “Bila Ana mau berangkat ke London?,” tanya bapa angkatnya Pak Haji.

    “Ana akan uruskan dulu bersama CEO syarikat Ana di sana tentang kontrak pembeliannya melalui online”.

    “Untuk apa membeli apartment begitu jauh tu Ana?”

    “Begini Pak Haji…”

    Norhana memberi alasan yang dia ingin berbagi sedikit amal jariahnya untuk membantu pelajar dari negara Brunei yang menghadapi kesulitan tempat tinggal yang begitu mahal di sana.

    Norhana menceritakan beberapa orang daripada pelajar terpaksa berkongsi sampai sepuluh orang dalam satu rumah terutama di universiti-universiti di Scotland kerana itu, Norhana meminta pengurus syarikatnya CEO dan peguam syarikatnya mencari satu rumah jika ada yang berhampiran dengan universiti terdekat yang mampu dibeli untuk dijadikan hostel.

    Menurut hasil penelitian dari CEO nya ada sebuah apartment yang mahu dijual berhampiran dengan Universiti Dundee kampus antarabangsa yang jarak dari universiti sekitar 0.5 kilometer. Norhana memberi tahu CEO nya yang dia bersetuju membeli apartment tersebut. Kampus International Universiti Dundee adalah universiti terkemuka di UK terletak di Scotland yang menduduki tempat kelima teratas seluruh UK.

    Di Universiti tersebut pelajar dari Brunei dihantar untuk mengambil bidang kedoktoran.

    Dalam misi Norhana hostel tersebut dapat meringankan beban para pelajar dari Brunei dengan sewa yang paling murah tidak membebankan. Di samping itu boleh menarik minat pelajar international dari negara-negara lain untuk menyewa apartment tersebut. Demikian penjelasan dari Norhana kepada Pak Haji.

    “Semoga amal jariah itu mendapat balasan daripada Allah….dan bapa juga mahu memberi sponsor untuk lima orang pelajar kita ni untuk amal ibadah bapa,” kata Pak Haji kepada Norhana.

    “Ok tu pa, insyaAllah…Ana akan uruskan niat baik bapa tu”.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda