(Siri 16)
Oleh Dino MN –
Kini Norhana sudah berlepas ke London tiga hari yang lalu. Kelmarin dia menghubungi Pak Haji lewat menerusi video call yang menunjukkan dia dalam perjalanan ke apartmen yang sudah menjadi miliknya untuk majlis penandatanganan yang diaturkan oleh CEOnya.
Sementara di meja bulat no. 13 di restoran tersebut begitu rancak membicarakan kes Tuan Bin Esmit yang jatuh miskin. Malah di meja-meja makan sekitar restoran itu juga kedengaran mereka memperkatakan hal tentang kes Tuan Bin Esmit yang jatuh bankrap.
“Memang sudah jatuh bankrap semua aset dirampas…kasihan juga Tuan Bin Esmit…”
“Yalah sudah nasibnya badan…masa kaya terlalu bakhil tidak mahu menolong orang-orang yang susah,” kata Hasan menceritakan kebakhilan Tuan Bin Esmit.
“Rumah kedai dua pintu di kampung isteri Tuan Bin Esmit atas namanya juga sudah dimiliki Pak Haji”.

“Semua sudah selesai dipindah atas nama Pak Haji dan juga anak-anaknya,” kata lelaki pertama menjelaskan.
Restoran tersebut semakin ramai dikunjungi dan semakin rancak mereka berbual hal Tuan Bin Esmit sehingga tiada meja lagi yang kosong, semuanya dipenuhi. Bunyi riuh suara gelak ketawa. Ada suara anak damit menangis mungkin terasa rimas suasana yang bising di situ.
Seketika itu juga suasana seluruh restoran tersebut menjadi sepi setelah mendengar bunyi ketuk-ketuk dan bunyi tiupan angin dari mikrofon pembesar suara. Diikuti dengan suara seseorang meminta perhatian.
“Assalamualaikum kepada semua yang ada dalam restoran ini…dimaklumkan kepada sekalian yang makan minum di restoran ini…saat ini semua makan minum kamu adalah percuma disebabkan seseorang yang bermurah hati telah menanggung kesemua makan dan minum sekalian kamu semua. Jika kamu ingin memesan makanan tambahan lagi adalah dipersilakan…sekian terima kasih”. Demikian ucapan tuan punya restoran yang sangat menyenangkan hati pelanggannya. Satu persatu pelanggan setiap meja memesan makanan kesukaan mereka.
“Siapa yang bermurah hari bersedekah kepada kita semua ya…semoga orang tersebut murah rezekinya berlipat ganda dari sedekahnya hari ini,” kata Azis mendoakan kepada yang bersedekah itu. Semua kawannya di meja no. 13 serentak mengaminkan doa tersebut.
“Sekurang-kurangnya seminggu sekali dapat minum free…”. Akhirnya pelanggan restoran tersebut beransur-ansur berkurangan kerana balik ke rumah masing-masing.
Di rumah Said petang itu, dia sedang membakar rumput-rumput kering yang dipotong di belakang rumahnya.
“Babah…babah…babah…,” anak bungsu perempuannya berlari menuju ke arahnya sambil memegang telefon bimbit babahnya.
“Ada call untuk babah…,” dia segera memberi telefon bimbit kepada babahnya.
“Aku di sini Said…Alhamdulillah si Saimah anak abang Said telah diterima masuk di Universiti Dundee kampus International dan belajar mengikuti bidang yang Saimah minati.
“Alhamdulillahlah terima kasih Ana…abang sangat bergembira dengan khabar ini…,” kata Said dengan nada gembira. Kini hasrat anaknya Saimah akan menjadi kenyataan.
“Ana… bila masanya Saimah akan masuk ke Univeriti Dundee tersebut?” tanya Said lagi.
Kata Ana secepatnya dalam tiga minggu ke depan, cukup untuk urusan ke Kementerian Pendidikan di unit Pengiktirafan dan ke Kementerian Luar Negeri dan urusan penyediaan pasport.
“Ana bila balik ke Brunei? Bagaimana nanti Saimah ke sana?
“Ana akan tunggu Saimah di sini untuk membantu Saimah mendaftar kemasukannya hingga selesai,” jelas Norhana kepada abang angkatnya Said.
Keesokan harinya, Said terus menguruskan keperluan anaknya di beberapa jabatan dan kementerian yang bersangkutan demi kelancaran anaknya Saimah keluar negeri. Jika semuanya selesai diuruskan dalam tempoh kurang atau lebih tiga minggu, fikir Said dia sendiri akan ikut menghantar Saimah ke United Kingdom…hatinya puas.
Selepas Said selesai berurusan berhubung dengan anaknya Saimah, dia singgah di restoran untuk minum petang. Di meja bulat no.13 lelaki pertama, lelaki kedua, lelaki ketiga, Azis dan Hasan pun ada di situ. Semua mereka bersalaman dengan Said bertanyakan khabar masing-masing.
“Sudah lama benar kita tidak berjumpa ya Said?,” tanya lelaki ketiga sambil berjabat tangan dengan Said.
“Aku pun jarang balik ke rumah bapa sebab tugas kerja yang banyak.
“Jadi Said dari mana tadi, tidak kerjakah?” tanya lelaki pertama.
“Aku minta cuti tahunan mulai hari ini.
“Berbaju kemas begini dari mana?
“Ada urusan keperluan anakku si Saimah yang mau belajar keluar negeri,” jelas Said.
“Oh begitu syukurlah dapat dermasiswakah?,” tanya Hasan ingin tahu.
“Tidaklah…biaya sendiri saja.” Said menceritakan yang anaknya gagal mendapat biasiswa kerajaan, bukan kerana anaknya tak lulus dalam peperiksaan tingkatan enam, tetapi unitnya tidak mencapai kehendak Kementerian Pendidikan. Sebab itulah kata Said dia menggunakan belanja sendiri.
“Itu tidak menjadi masalah bagimu Said…orang kaya…duit banyak, hentam sajalah,” kata lelaki kedua. Mengikut kata Said, jika anaknya tiada kemampuan dia tidak berani menghantar walaupun duitnya mencukupi.
Said memesan minuman dan meminta mereka juga boleh memesan makanan dan minuman yang mereka suka. Kata Said, dia yang belanja. Mereka pun memesan minuman yang disukai mereka.
“Hari ini aku belanja kesyukuran untuk anakku yang akan belajar di United Kingdom,” kata Said sambil mengeluarkan beg duitnya dan memberikan kepada mereka duit seratus ringgit setiap seorang.
“Betul-betulkah ni Said?” tanya Azis sekadar bertanya pemanis kata. Said cuma angguk kepala sambil senyum ikhlas. Kemudian Said mohon diri dulu sebab dia mau ke rumah bapanya sebelum balik ke rumahnya sendiri.
Bersambung