Monday, May 5, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tidak sengaja

    (Siri 18)

    Oleh Dino MN –

    “Muliakah atau tidak hanya Allah yang tahu… mulia bagi pandangan manusia di mata Allah mungkin buruk…bergantung pada iman dan ibadahnya,” kata lelaki ketiga. Lelaki pertama setuju saja.

    “Betullah tu…kita boleh lihat dari lahirnya dan daripada perbuatan seseorang. Kita nampak dia baik maka kita katakan saja dia baik selagi kita tidak nampak perbuatan buruknya…dia pemurah suka bersedekah itu perbuatan baik…niat di hatinya biar Allah yang menentukannya,” kata Azis turut memberi pandangannya.

    Bagi mereka, Pak Haji adalah seorang yang baik dan pemurah suka bersedekah. Penduduk kampung juga berkata mengakui kebaikan Pak Haji.

    Sejak mengalami kebankrapan itu kehidupan keluarga Tuan Bin Esmit sudah tidak tenteram lagi. Sering berlaku perselisihan antara mereka.

    “Kalau kau tidak melakukan perbuatan jahat itu pasti kita tidak menjadi bankrap dan miskin seperti ini,” keluh isteri Tuan Bin Esmit dengan rasa putus asanya menuding jari kepada suaminya Tuan Bin Esmit.

    Rumah milik Pak Haji hasil daripada kebankrapan Tuan Bin Esmit telah terbakar. – Agensi
    Gambar Agensi

    “Aku yang mencari harta dan mengumpulkannya hingga banyak. Kau cuma tau makan tidur…,” bentak Tuan Bin Esmit dengan marahnya kepada isterinya. Isterinya terdiam tidak mahu berkata lagi. Sepatah lagi jika dia berani menjawabnya, pasti suaminya akan lebih garang lagi.

    “Tanah kepunyaan aku di kampung…yang kau dirikan rumah kedai dua pintu itu…mengapa menjadi mangsa kebankrapan…itu semua kerana keserakahanmu…,” kata isterinya tanda kesalnya. Dia mahu Tuan Bin Esmit suaminya itu mengembalikan tanah miliknya itu.

    “Ya pasti akan ku balikkan kepadamu jika aku kaya semula seperti dulu.”

    “Jangan harap…,” jawab isterinya pendek dan terus beredar dari depan Tuan Bin Esmit dengan hentak kakinya. Tuan Bin Esmit memerhatikan saja gelagat isterinya itu. Kadang-kadang berlakunya pertengkaran antara keduanya sampai kedua-duanya tidak bertegur sapa sampai dua hari.

    Anak-anak Tuan Bin Esmit sudah dua bulan tidak datang-datang menjenguk ibu bapa mereka kerana merasa kecil hati disebabkan berlakunya pertengkaran sesama keluarga.

    Tuan Bin Esmit marah besar bila anak-anaknya mempersoalkan kebankrapan bapa mereka.
    Anak-anaknya mengatakan yang bapa mereka lakukan itu adalah aksi jenayah. Tuan Bin Esmit berkeras dan meminta anak-anaknya tidak menyebut hal itu lagi. Katanya, dia membesarkan mereka, menghantar mereka ke sekolah agar pintar, itu semua menggunakan wangnya demi memberikan pelajaran kepada mereka. Tapi sekarang saat dia tersungkur anak-anaknya pula berani mengutuknya.

    Pagi minggu 13 April, minggu yang sangat mengejutkan Pak Haji, lebih besar daripada peristiwa lima tahun yang lalu apabila cermin keretanya yang dirosakkan oleh Tuan Bin Esmit membawa sedikit kerugian kepada Pak Haji dan membawa kebankrapan kepada Tuan Bin Esmit.

    Malam minggu tersebutlah saat Pak Haji lelap tidur dia dibangunkan oleh pekerjanya yang tercungap-cungap menyampaikan berita bahawa rumah miliknya hasil dari kebankrapan Tuan Bin Esmit telah terbakar.

    Semasa Pak Haji sampai di kawasan rumah yang terbakar itu jam menunjukkan pukul 1:34 pagi. Orang-orang di sekitar situ juga datang menyaksikan kejadian kebakaran tersebut.

    Sementara itu, pihak bomba bertungkus- lumus memadamkan kebakaran yang hampir memusnahkan keseluruhan rumah besar berkenaan.

    “Pasukan bomba masih menjalankan siasatan punca kebakaran rumah Pak Haji. Mengikut keterangan daripada Pak Haji rumah itu memang belum ada penghuninya,” kata Azis kepada kawan-kawannya.

    “Andaikan ada penghuninya mungkin kebakaran tidak akan berlaku,” sampuk lelaki ketiga. Dia terus minum minuman yang dipesannya tadi.

    “Kata anak Jalia, mungkin ada unsur sabotaj berhubung insiden kebakaran itu,” kata lelaki pertama menjelaskan daripada keterangan yang diberikan oleh anak Jalia cucu Pak Haji.

    Semua pelanggan restoran itu termasuk meja bulat no. 13 rancak berbual kejadian kebakaran rumah milik Pak Haji. Ada yang membawa akhbar Media Permata dan Borneo Bulletin dan membaca bersama kawan-kawan mereka.

    Berita itu hangat menghiasi muka depan akhbar Media Permata dan juga Borneo Bulletin hari itu. Ada yang menunjukkan gambar rumah Pak Haji yang hampir ranap dijilat, dimakan si jago merah.

    Pak Haji sudah berada di Balai Bomba kerana diminta beri keterangan berhubung dengan rumahnya yang terbakar itu. Beberapa pertanyaan telah pun Pak Haji jawab. Dan pihak penyiasat berpuas hati dan berjanji akan menyelesai kes itu secepat mungkin.

    Juga akan mencari dalang yang bertanggungjawab yang menyebabkan berlakunya kebakaran itu. Kerana mustahil berlaku kebakaran memandangkan rumah itu tiada penghuni dan elektriknya juga sudah dimatikan oleh Pak Haji. Lampu kawasan rumah cuma menggunakan lampu kuasa solar.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda