(Siri 2)
Oleh Dino MN –
Dia memandu kereta Toyota Hilux warna merah lada cukup berhati-hati, dia takut berlaku lagi kemalangan sebab kereta itu kepunyaan Ana. Norhana meminjamkan keretanya untuk dia mudah melakukan kerja. Mengangkat barang untuk projek perumahan yang dibuatnya.
“Bang…belum balik kah? Risau juga hati sayang, takut abang apa-apa ni.”
“Ya…abang baliklah ni, dah mau sampai pun.”
Dia memasuki pekarangan rumahnya. Isterinya bergegas keluar bila melihat sebuah kereta Hilux berwarna merah lada masuk ke halaman rumahnya.
“Kereta siapa yang datang ni?” kata isterinya dalam hati. Dia tercegat di muka pintu memerhati siapa yang keluar dari kereta itu nanti.
Bila dia melihat jelas yang datang itu ialah suaminya, dia terus menghampiri suaminya yang baru saja keluar dari dalam kereta Hilux tersebut.
Dia melihat ke dalam ruang kereta itu dan hatinya berkata “kereta ini sungguh canggih…”, dia belum pernah melihat kereta semewah ini. Dari luar seperti kereta Hilux biasa-biasa saja.
“Ini kereta siapa bang?” tanyanya ingin tahu.
“Kereta Norhana yang melanggar kereta abang tadi…dia meminjamkan untuk abang sehingga kereta abang selesai dibaiki.”
“Dia pula pakai apa?” tanya isterinya, penuh dengan keraguan dan kerisauan.
“Dia pakai keretanya yang lain…keretanya ada tujuh buah…semuanya yang mahal-mahal,” katanya memberitahu isterinya. Mereka bergandingan berjalan masuk ke rumah.
“Kayalah gayanya jika begitu,” kata isterinya pendek sambil mereka masuk ke rumah.
“Begitulah jika mengikut sedikit cerita darinya tadi.”
“Siapa pula ibu bapanya ya..,” soal isterinya lagi. Sebab dia hairan juga wanita muda yang diceritakan suaminya itu mempunyai kereta tujuh buah yang mahal-mahal pula.
“Katanya tadi dia tiada ibu bapa…sudah meninggal masa dia belajar di UK.”
“Adik-beradiknya tentu adakan…mustahil juga tiada. Adik-beradik bapanya atau ibunya tentu juga ada,” kata isterinya mempertahankan kedudukan kekeluargaan dalam kalangan keluarga Melayu.
“Ibunya berasal dari Belanda merupakan mantan pensyarah di sebuah universiti di sana. Bapanya pula seorang berbangsa Bidayuh berasal dari Sarawak,” suaminya menerangkan seperti yang diceritakan oleh Norhana kepadanya.
Isteri mengiakan saja cerita suaminya. Dia ingin tahu banyak tentang Norhana. Dia tidak mahu mendesak suaminya kerana dia pasti suaminya belum tahu banyak hal Norhana.
Pagi itu dia bangun awal seperti biasa. Dia duduk di kerusi meja tamunya menghala ke muka pintu. Dari situ dia nampak kelibat isterinya sedang menyiram pokok bunga.
Dia tidak keluar ke mana-mana kerana mahu rehat di rumah saja. Kelmarin pekerja bangunannya sudah memberi tahu yang barang-barang keperluan binaan masih lagi mencukupi.
Sebuah kereta datang hendak memasuki halaman rumahnya. Dia nampak isterinya bergegas menuju ke pintu pagar untuk membukanya. Sejurus kereta itu masuk di halaman rumah isterinya nampak pemandunya seorang wanita muda yang cantik.
Dia mengekori kereta tersebut sehingga berhenti. Pemandunya keluar dan memberi salam kepadanya.
“Nama saya Norhana…” tanpa ditanya dia terus memberitahu dan memperkenalkan namanya.
“Tuan hajinya ada bu hajah?” tanyanya.
Dia memerhati saja dari bilik tamu melalui pintu bilik itu. Dia terus bangun dari duduknya dan menuju ke muka pintu setelah dia nampak yang datang itu Norhana.
“Ya…ada. Marilah saya bawa jumpa dia”.
Belum sempat mereka berdua mau masuk ke rumah, pintu rumah itu terbuka dan suaminya keluar dan terus mempersilakan Norhana dan isterinya masuk.
“Pak haji tidak pergi ke projekkah hari ini?” tanya Hana sejurus melabuhkan punggungnya di kerusi empuk bilik tamunya. Isterinya terus masuk ke ruang dapur untuk menyediakan minuman untuk Hana.
“Tidak…malas pula rasanya…lagi pun barang-barang binaan semua masih ada.”
“Pa haji tak ambil projek besarkah?”
“Tak…modelnya besar…syarikat saya cuma syarikat kecil, model pun tak besar…”
“Ana boleh bantu syarikat pak haji untuk menguruskan projek walaupun modelnya besar,” kata Norhana bersungguh-sungguh untuk meyakinkannya.
“Lagi pun saya tidak ada kemampuan menjalankan projek besar,” katanya kepada Norhana.
“Ana boleh lakukan untuk pak haji percayalah…syarikat pak haji boleh ambil projek luar negeri yang lebih besar”.
Terbeliak matanya bila Ana menyebutkan projek luar negeri. Bak kata umpama mimpi siang hari yang tak akan terwujud.
“Jangankan projek luar negeri Ana, projek dalam negeri pun aku tidak berani…” katanya dengan merendahkan kemampuannya. Perbualan mereka terputus saat isterinya masuk dengan membawa minuman untuk tetamunya.
Dia meletakkan hidangan di atas meja dan terus mau masuk ke dalam semula.
“Ibu hajah duduk saja sini…sama-sama berbual santai,” pinta Norhana padanya.