(Siri 21)
Oleh Dino MN –
Menepati janji yang dikatakan oleh Pak Haji kepada keluarganya untuk memberikan rumah kedai dua pintu dua tingkat itu kepada Tuan Bin Esmit, Pak Haji telah memanggil semua keluarganya berkumpul untuk menetapkan acara majlis itu.
Hamidon telah datang begitu awal bersama isteri dan anak-anaknya.
Norhana dan Jalia bersama anak-anaknya juga tidak kalah awalnya…dengan sebuah kereta juga awal pagi itu dan bersama-sama kerja di dapur menyediakan jamuan ringan untuk keluarga itu membantu Bu Hajah Maidah. Said yang datang kemudian rupanya dia singgah dulu di pasar raya untuk membeli buah-buahan sebagai hidangan nanti.
Di bilik tamu yang luas dan penuh keindahan hiasan dalaman telah pun tersusun rapi dengan kursi. Norhana mempersiapkan ruang tamu yang luas itu seumpama dewan persidangan untuk tetamu yang diundang. Dalam majlis kecil dan ringkas itu Pak Haji menjemput penghulu mukim dan ketua kampung sementara tetamu khasnya ialah seorang kenamaan iaitu Yang Berhormat yang juga penduduk di kampung tersebut.
Tuan Bin Esmit selaku penerima rumah kedai dua pintu dan dua tingkat yang diberikan oleh Pak Haji. Dalam masa lebih satu jam setengah lagi acara majlis penyerahan rumah kedai dua pintu dua tingkat itu akan berlangsung, Norhana membuat pemeriksaan dengan teliti agar tidak berlaku sebarang gangguan di acara itu nanti.

Isteri Tuan Bin Esmit juga telah pun bersiap-siap untuk menghadiri acara majlis di rumah kedai dua pintu dua tingkat yang pada asalnya adalah kepunyaan suaminya Tuan Bin Esmit. Oleh kerana keserakahan suaminyalah yang bertindak mengikut nafsu maka hukum karma telah diterima suaminya Tuan Bin Esmit. Seluruh harta milik suaminya tergadai untuk membayar denda saman sebanyak $1.5 juta kepada pak haji.
Hari ini rumah kedai dua pintu dua tingkat yang sebelum ini menjadi sebahagian sumber kewangan keluarga Tuan Bin Esmit akan kembali kepada mereka atas ihsan Pak Haji.
Dalam hatinya dia mengucapkan terima kasih kepada ketulusan dan keikhlasan hati Pak Haji.
Seluruh penduduk di kampung Pak Haji telah diundang untuk menghadiri majlis yang dibuat di rumah Pak Haji.
Semua urusan jemputan diuruskan oleh Said. Tidak ada seorang pun yang tertinggal… lelaki perempuan, orang tua, muda, miskin, berada dan kanak-kanak semuanya dijemput… kerana Pak Haji ingin menghulurkan sedekah kepada seluruh penduduk kampungnya bersempena majlis yang megah yang diusahakan oleh Norhana dan dibantu oleh Hamidon, Said dan Jalia.
Saatnya tiba, penduduk kampung berpusu-pusu mendatangi ke rumah Pak Haji untuk memenuhi jemputan daripada Pak Haji. Semua yang datang bebas memilih mana-mana kerusi meja yang mereka suka bersama ahli keluarga mereka. Semua muka mereka berseri pada majlis itu. Penghulu mukim sudah datang bersama isterinya. Begitu juga dengan ketua kampung sudah pun sampai.
Setelah semua jemputan sudah hadir tidak lama lepas itu tetamu khas majlis iaitu Yang Berhormat pun sampai. Isteri Tuan Bin Esmit dan beberapa buah keluarga duduk di kerusi paling depan di sebelah kiri majlis. Pak Haji duduk sebelah kanan Yang Berhormat. Pasti majlis akan dimulakan sekejap lagi.
Seminggu berlalu masih juga kisah majlis penyerahan tidak luput malah menjadi buah mulut penduduk kampung tersebut.
“Sungguh terharu saat isteri Tuan Bin Esmit menerima semula rumah kedai dua pintu dua tingkat daripada Pak Haji yang disampaikan oleh tetamu khas majlis iaitu Yang Berhormat.
Semua yang menyaksikan menitiskan air mata..,” kata Hussin pada kawan-kawannya yang duduk di meja no. 7 di restoran itu.
“Mengapa pula ya Tuan Bin Esmit tidak hadir…walhalnya mesti dia yang menerimanya,” kata Botak Perut Kembung menyampuk.
“Betul kata Botak tu…sedar dirilah sedikit. Sudah baik hati Pak Haji memberi balik rumah kedai padanya…ini tak mahu berterima kasih,” kata Maun Kurus yang duduk berdepanan dengan Botak Perut Kemung. Madi Sabli duduk dan diam saja tidak menyampuk kerana asyik minum dan makan kuih yang dipesan. Dia tidak hirau orang sekelilingnya.
“Yang saya tahu…”
“Apa…apa yang kamu tahu,” belum sempat Madi Sabli meneruskan cakapnya Hussin pula tidak sabar ingin tahu.
“Dengarlah dulu jangan main hentam cakap…Tuan Bin Esmit pada masa ini masuk rumah sakit jiwa…itu sebabnya isterinya yang menerima,” sambung Madi Sabli sambil matanya menjeling ke arah Hussin.
“Bagaimana kalau kita berempat ke rumah sakit jiwa melawat keadaan Tuan Bin Esmit di sana..”
“Untuk ke rumah sakit jiwa mungkin juga kita tidak dibolehkan melawat…tempat itu dilarang kepada semua pelawat.”
“Tidak kisah boleh atau tidak…kita cuba dulu mana tau kita dibolehkan bertemu dengan Tuan Bin Esmit,” kata Maun Kurus kepada kawan-kawannya.
Hussin, Botak Perut Kembung, Maun kurus dan Madi Sabli merasa hampa kerana mereka tidak dibenarkan masuk untuk menemui Tuan Bin Esmit di rumah sakit jiwa tersebut.
Mereka hanya dibenarkan melihat melalui CCTV yang dipasang di setiap bilik penghuni rumah sakit jiwa tersebut untuk pihak petugas memantau kondisi pesakit jiwa di dalamnya.
“Amat menyedihkan keadaan Tuan Bin Esmit itu yang kita lihat tadi,” kata Botak Perut Kembung. Mereka berempat berjalan santai menuju parkir kereta.