Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tidak sengaja

    (Siri 24)

    Oleh Dino MN – 

    Setelah selesai menghadiri mesyuarat di Kota Singa sekali gus majlis penganugerahan sijil penghargaan kepada karyawan hotel, Pak Haji bersama Bu Hajah Maidah keluar bersiar-siar sambil berbelanja di beberapa tempat beli-belah di sana.

    Mereka berdua dibawa oleh pemandu hotel kepunyaan Pak Haji ke tempat-tempat menarik di sana sebelum mereka balik ke Brunei.

    Norhana pula mengadakan perjanjian kontrak kerjasama dengan sebuah syarikat terbesar di Singapura dalam bidang perkilangan pemakanan. Norhana mewakili syarikat Pak Haji dan menyetujui pelaburan saham 50 peratus sama rata dengan syarikat terbesar itu.

    Norhana telah menamakan Said abang angkatnya sebagai pemegang saham tersebut atas permintaan Pak Haji.

    Sebenarnya Said anak bongsunya menolak apabila bapanya Pak Haji meminta dia menemaninya untuk pergi bersama ke Singapura. Dia masih dalam kesedihan atas pemergian isterinya walaupun sudah berlalu hampir satu setengah tahun. Saat itu Said jarang ke rumah bapanya Pak Haji. Dia hanya menguruskan hal-hal rumahnya dan juga anak-anaknya.

    Pak Haji bersama Bu Hajah Maidah keluar bersiar-siar sambil berbelanja di beberapa tempat beli belah di Kota Singa. – Gambar AI
    Gambar AI

    Malam selepas makan di restoran hotel kepunyaan Pak Haji, setelah selesai solat isyak Pak Haji meminta Norhana dan Bu Hajah Maidah membincangkan satu hal yang agak penting juga dalam kehidupan keluarga Pak Haji yang menyangkut juga tentang kehidupan anak angkatnya Norhana.

    “Begini Ana…,” kata Pak Haji memulakan percakapan malam itu.

    “…sudah lama juga bapa ingin menyuarakan hasrat bapa ini pada Ana, tapi selalu tiada kesempatan kerana kesibukan kita menguruskan bisnes masing-masing,” sambung Pak Haji dengan nada suara sedikit rendah.

    “Ada apa pa…katakanlah biar Ana mendengarnya,” kata Norhana minta bapa angkatnya berkata terus terang saja.

    “Ini bersangkutan dengan kehidupan Ana masa depan. Jika Ana setuju sudah masanya Ana memikirkan tentang kehidupan berumah tangga. Bapa ingin Ana mengakhiri masa bujang Ana,” kata Pak Haji menerangkan maksudnya dengan penuh berhati-hati agar tidak melukai hati Norhana anak angkatnya itu. Norhana terdiam kerana selama ini dia belum mahu memikirkan hal perkahwinan. Lagi pula dia sendiri pun belum mempunyai lelaki yang sesuai untuk dijadikan pasangan hidupnya.

    “Maafkan bapa dan mama jika hal ini membuat Ana tersinggung,” kata Pak Haji lagi bila melihat Norhana tidak menjawab kata-katanya.

    “Yalah Ana…mama pun merasa tidak perlu mengatakan hal perkahwinan Ana…”. Belum pun habis Bu Hajah Maidah bercakap Norhana menyampuk…

    “Tidak…tidak…Pa…Ma. Ana tak marah…soalnya Ana belum mempunyai pasangan yang sesuai untuk dijadikan suami,” kata Norhana menjelaskan agar bapanya dan ibu angkatnya tidak merasa bersalah dalam perkara tersebut. Bagi Ana dia pun sudah memikirkan hal untuk perkahwinannya…tapi masih merasa tiada yang berkenan di hatinya. Ada juga beberapa lelaki yang cuba mendekatinya tetapi belum ada yang menarik di hatinya.

    “Perkara itu mudah saja diatasi selagi Ana tidak terlalu memilih,” kata Bu Hajah Maidah.

    “Jika bapa carikan Ana jodoh, Ana mahukah tak?,” soal Pak Haji pada Ana. Norhana terperanjat juga mendengar kata bapa angkatnya itu.

    “Apakah bapa angkatnya diam-diam sudah mencarikan jodoh untukku?,” katanya dalam hati.”…Apa pun dan siapa pun yang dia pilih untuk jodohku mungkin itulah yang terbaik untukku,” katanya lagi.

    “Apakah Ana mahu bapa carikan jodoh untuk Ana?,” tanya Pak Haji ingin kepastian.

    “Abang…jangan dipaksa sangat…biarlah Ana mencari jodohnya sendiri,” kata Bu Hajah Maidah.

    “Tak apa ma…betul juga kata bapa tu…mungkin juga ada baik dan berkatnya pilihan orang tua,” kata Norhana. Mungkin sudah waktunya dia mendirikan rumah tangga kerana usianya sudah mencapai angka 29 tahun. Takut juga Norhana nanti dia digelar anak dara tua. Jika ada nanti calon yang diusulkan oleh Pak Haji bapa angkatnya dia bertekad untuk menerimanya saja dulu.

    “Nah sekarang ertinya Ana setuju dengan cadangan bapa tadi”.

    “Siapakah orang yang mahu bapa jodohkan dengan Ana?,” tanya Norhana pendek. Kata Pak Haji supaya Norhana sabar dulu kerana dia mahu menerangkannya setelah mereka balik dari Kota Singa nanti.

    Setelah seminggu kembalinya Pak Haji dari Singapura barulah dia berkesempatan memikirkan tentang janjinya kepada Norhana. Pak Haji menghubungi Said anak bongsunya datang ke rumah membincangkan perkara itu bersama. Pak Haji tidak menjemput anaknya Hamidon dan Jalia cukuplah Said seorang saja untuk membincangkan hal yang dia fikirkan.

    “Ada yang hendak bapa ingin rundingkan bersama mu Said,” kata Pak Haji.

    “Ada apa yang akan dirundingkan Pa?,” tanya Said.

    “Said…sudah masuk dua tahun isterimu telah meninggalkan kita. Apakah tidak terfikir di hatimu untuk mencari penggantinya untukmu?”.

    “Mungkin tidak…sebabnya aku pun sudah beransur tua”.

    “Kau baru empat puluh tiga tahun masih muda lagi,” kata Pak Haji mengingatkan anaknya Said. Said terdiam memikirkan kata bapanya.

    “Betul juga kata bapa…,” kata Said dalam hatinya.

    “Cuba kau fikirkan tentang Ana…ia masih bujang…baru meningkat usianya yang ke tiga puluh tahun”.

    “Maksud bapa aku harus menikah dengan Ana?,” tanya Said pada bapanya ingin kepastian.

    Pak Haji angguk kepala mengiakan kata-kata anaknya Said. Mahukah Ana menikah dengan ku kata said dalam hati.

    “Bapa sudah katakan ini kepada Ana dan nampaknya dia setuju saja dengan pilihan bapa…”

    “…pergilah temui Ana di rumahnya bersama mamamu dan juga kakakmu Jalia,” perintah Pak Haji pada Said. Said pula tidak mahu pergi kerana katanya biarlah bapanya dan juga mamanya pergi menemui Ana. Pak Haji setuju untuk menyatakan hajat keluarga kepada Ana.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda