(Siri 26)
Oleh Dino MN –
Di ruang opis kerja Norhana, di sudut kanan ruang tamu rumahnya, Norhana duduk tekun meneliti lembar demi lembar kertas-kertas yang bersangkutan dengan projek yang akan dibuat. Dia ingin menyelesaikan sekurang-kurangnya sebelum dia menamatkan waktu bujangnya.
Satu kertas kerja yang sangat menarik perhatiannya adalah merenovasi beberapa bangunan yang terbiar di Seria di Daerah Belait. Terletak di kawasan Lorong Tiga Seria, bangunan itu banyak yang terbiar tidak digunakan. Bangunan tersebut entah milik BSP atau bangunan milik kerajaan amat terbiar tidak pasti. Begitulah isi kertas kerja yang di teliti oleh Norhana.
Kertas kerja itu telah dibuat oleh seseorang dalam kalangan ibu bapa atau penjaga yang mengalami kesusahan untuk anaknya bersekolah. Kerana itulah dia meminta syarikat Norhana melakukan yang terbaik bagi mengatasi masalah mereka.
Norhana bersama bapa angkatnya Pak Haji dan juga Said telah pergi ke Seria melihat apa sebenarnya kemusykilan yang pelajar dan ibu bapa hadapi. Mereka berharap dapat mengambil usaha yang boleh meringankan masalah. Setelah mereka sampai di kawasan Lorong Tiga mengikut laporan dalam kertas yang Norhana baca itu memang benarlah ada bangunan kerajaan yang terbiar tidak lagi digunakan.
Kawasan keliling bangunan itu semak oleh rumput-rampai sangat merugikan. Kemudian mereka ke kanan menuju ke kampus IBTE Kampus Sultan Bolkiah untuk menentukan jarak dari kampus ke bangunan flat dan banglo yang kosong itu.

Dalam perjalanan pulang itu Pak Haji, Said dan Norhana membicarakan hal flat dan banglo berkenaan. Mereka bersetuju akan memohon kepada pihak yang berkuasa terhadap beberapa bangunan berkenaan untuk dijadikan asrama tempat tinggal penuntut-penuntut IBTE Kampus Sutan Bolkiah yang datang dari Daerah Tutong, Brunei Muara dan Temburong, yang menghadapi kesulitan untuk ulang alik ke kampus.
Ada sesetengah orang tua dan penjaga mereka tiada kemampuan menyediakan kenderaan sendiri atau pun mencari rumah sewa untuk anak mereka. Jadi ada baiknya usaha mereka itu untuk membantu menyediakan tempat tinggal di flat-flat yang terbiar itu dijadikan asrama untuk mereka.
Pak Haji, Said dan anak angkatnya singgah ke sebuah restoran untuk minum.
“Kita minum apa bang Said?,” tanya Norhana pada Said yang bakal menjadi suaminya tidak lama lagi.
“Abang mau makan mi teow basah saja…abang sangat lapar sebab tadi pagi tak sempat sarapan,” kata Said sambil menjeling ke arah Norhana. Pak Haji memesan minuman kopi susu dan roti saja dengan dua biji telur separuh matang. Manakala, Norhana memesan nasi ayam penyet yang menjadi kesukaannya.
Sambil makan mereka terus membicarakan tentang projek pengubahan flat dan beberapa banglo yang terbiar kosong untuk menjadikannya tempat penginapan pelajar IBTE Kampus Sultan Bolkiah yang datang dari keempat-empat daerah.
Telepon bimbit Said berbunyi. Dia terus menjawab.
“Hello Said…di mana kamu masa ini?”
“Kami di restoran minum dulu”
“Ana ada bersamakah?”
“Ya ada…bapa pun ada ni…mengapa…apa halnya?,” tanya Said.
“Ada orang tanya Ana…dia mau jumpa katanya.”
“Di mana dia masa ini?
“Di rumah bapa…abang pun di sini juga.”
“Okey lah…kami pun sudah siap minum…tunggu saja di sana,” kata said dan terus mematikan teleponnya.
“Siapa tu bang Said?,” tanya Norhana.
“Abang Midon…katanya ada orang yang mau jumpa Ana.”
“Okeylah kita balik cepat agar dia tidak kelamaan menunggu,” kata Pak Haji sambil berdiri dan mereka bertiga terus keluar menuju ke kereta.
Di rumah Pak Haji, Hamidon dan tetamu yang ingin bertemu Norhana sudah sedia menunggu kedatangan mereka. Norhana melihat sosok seorang lelaki yang dikira sebaya dengan umur bapanya. Dia berdiri di sebelah Hamidon dengan memakai baju beragi-ragi merah dan hitam. Perutnya sedikit buncit ke depan persis orang yang suka minuman keras.
“Apa khabar kau Norhana?,” sapa lelaki yang berbaju beragi-ragi merah dan hitam. Nampak perutnya yang buncit ke depan dan tali pinggangnya ke bawah pusat dan atas ari-arinya bergegar saat dia bercakap.
“Khabar saya baik…kita panggil saya Ana saja,” kata Norhana senyum sambil mempersilakan tetamunya duduk. Mata lelaki yang berperut buncit itu melihat keliling ruang tamu rumah itu yang begitu luas dengan alat perabot yang begitu mahal.
“Sungguh besar rumah ini dan begitu mahal isi dalamnya…,” kata lelaki itu bercakap sendirian.
“Ini bukan rumahku…ini rumah bapa angkatku Pak Haji…,” kata Norhana sambil menunjukkan ke arah Pak Haji. Pak Haji angguk kepala sambil senyum ramah mesra.
“Ada apa urusan yang perlu Ana bantu?,” tanya Norhana setelah semuanya duduk.
“Begini Ana…sebelum itu saya perkenalkan siapa saya sebenarnya,” kata lelaki itu memulakan cakapnya.
“Teruskan ceritanya…,” pinta Norhana.
“…aku ini adik beradik bapamu Ana…aku adalah abang yang tua. Kami adik-beradik empat orang, semuanya lelaki…bapa Ana adalah adik yang ketiga kami.
“Yang lainnya mana lagi…mengapa mereka tidak ikut…?,” tanya Norhana kepada bapa saudaranya.
“Hanya aku seorang yang tinggal…yang lainnya sudah meninggal,” kata bapa saudaranya.
“Dan yang ini adalah anak saya juga sepupumu. Berumur 29 tahun baru lulus dari Universiti Teknologi Malaysia dalam jurusan komputer,” kata bapa saudaranya.
Norhana hanya senyum mendengarnya. Bu Hajah Maidah keluar membawa hidangan dan meletakkannya di atas meja tamu.
Norhana mengingati kisah kehidupan bapanya yang pernah diceritakan oleh bapanya sendiri semasa mereka masih lagi di UK dulunya.