Monday, July 28, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tidak sengaja

    (Siri 27)

    Oleh Dino MN –

    Mengenang nasib bapanya yang ditolak oleh keluarganya sendiri membuat hati Norhana geram. Sebab itu bapanya mengatakan yang ia tidak mempunyai keluarga, dia hanya anak tunggal tiada sanak saudara.

    “Sekarang kau sudah menerangkan jati dirimu…jadi apakah tujuan kau bersusah payah mencariku?,” kata Norhana kepada bapa saudaranya.

    “Aku ingin menyambungkan hubungan kekeluargaan kita yang lama terputus.”

    “Untuk apa…hubungan itu sudah tidak perlu…”

    “Ini menyangkut harta waris milik bapamu.”

    Norhana dan Said semasa melangsungkan perkahwinan. – Agensi
    Ana bangkit dari kerusi dan mendekati bapa saudaranya dan terus memeluk bapa saudaranya penuh hiba. – Agensi

    “Berapa banyak jumlahnya kalau boleh Ana tahu?”

    “Tanah di kampung yang berjumlah 100 hektar kepunyaan nenekmu telah diberikan kepada bapamu,” kata bapa saudaranya. Katanya lagi, tanah lahan tanaman kelapa sawit itu diberikan kepada bapa Norhana oleh neneknya, dia berasa kesal memutuskan tali kekeluargaan dengan bapa Norhana.

    “Jika dulu kamu tidak memutuskan tali kekeluargaan dan secara kasar menghalau bapa Ana dari desa yang miskin kumuh itu…mungkin Ana akan menerima pemberian nenek Gait Galau yang kejam itu,” kata Norhana penuh geram.

    Bapanya pernah menceritakan yang neneknya adalah ketua keluarga Bidayuh yang sangat disegani di kampungnya dengan jolokan ‘Maharaja Tedung’.

    Bapanya berpesan kepada Norhana semasa hidupnya supaya tidak membenci keluarganya walaupun mereka sudah berlainan hidup dan akidah. Air mata Norhana keluar mengalir di pipinya bila teringat pesan arwah bapanya itu.

    “Ana minta maaf uncle kerana Ana telah berkata sedikit kasar tadi,” kata Norhana sambil menjabat tangan bapa saudaranya penuh mesra.

    “Tidak mengapa Ana…uncle faham ini semua kesilapan keluarga.”

    Bapa saudaranya meminta Norhana menerima saja tanah lahan kelapa sawit 100 hektar itu kerana itu permintaan dari neneknya sebelum dia meninggal.

    “Ana sanjung hasrat nenek…tapi Ana minta maaf rasanya Ana tidak dapat terima…”

    “Ana baliklah dulu untuk melihat lahan sawit itu…sekurang-kurangnya Ana dapat merasai desa tempat bapa Ana dulu,” pinta bapa saudaranya.

    “Ana tidak akan kembali. Lagi pun Ana bukan dilahirkan di desa itu…jadi Ana ambil keputusan biarlah uncle saja yang menguruskan tanah tersebut,” kata Ana dengan nada hormat kepada bapa saudaranya. Bapa saudaranya tidak lagi berkata apa-apa. Dia hanya menurut kata Ana dan berjanji akan menjaga tanah dan lahan sawit hak Ana itu.

    “Baiklah akan uncle terima keputusan dari Ana…uncle akan menjaga tanah warisan kepunyaan Ana itu dan akan menguruskan dengan baik,” kata uncle Ana dan kemudian menyambung “…jika pada satu hari nanti Ana ingin balik melihat pedesaan kita, uncle dan keluarga sedia menunggu Ana”.

    Ana bangkit dari kerusi dan mendekati bapa saudaranya dan terus memeluk bapa saudaranya penuh hiba dengan air matanya mengalir yang tidak dapat dibendung lagi. Sepi seketika. Akhirnya Norhana melepaskan pelukannya dan kembali duduk di kerusi empuknya. Dia mengeluarkan sesuatu dan menulis atas kertas yang baru dikeluarkannya tadi.

    Uncle…ini cek $100 juta pemberian ikhlas daripada Ana untuk uncle. Terserah uncle saja…untuk diapakankah duit sebanyak ini kerana duit ini sah milik uncle.”

    Mata bapa saudaranya tidak berkedip melihat jumlah wang yang sebegitu besar. Kemudian dia menatap wajah Norhana dan Norhana senyum dan mengangguk kepala.

    Suasana pagi yang cerah, angin bertiup lembut membawa kesejukan embun pagi memasuki ruang bilik tidur Norhana melalui jendela yang sengaja dibuka luas agar udara segar pagi hari memasuki biliknya untuk menggantikan udara dalam bilik itu.

    Norhana masih duduk di unjuran katilnya sambil melepaskan pandangannya jauh ke timur untuk menyaksikan matahari terbit dengan cahaya sinarnya yang menarik. Sinar itu membawa harapan kepada kehidupan alam semesta di bawah langit ini. Dia merenung jauh pada kehidupannya sendiri. Said adalah matahari dalam hidupnya yang dia sendiri diam-diam menyukai sinarnya sejak dia masuk dalam keluarga Pak Haji sebagai anak angkat.

    Disinar matahari yang cerah dan bunyi-bunyi burung berkicauan, Said turun ke kawasan halaman rumahnya memerhati kuntum-kuntum bunga yang mekar segar dipuja oleh beberapa kumbang dan rama-rama dari satu kuntum ke kuntum yang lain.

    Bunga-bunga itu adalah usaha tanaman peninggalan arwah isterinya. Bunga-bunga itu akan tetap dijaga dan dipelihara tanda kasihnya pada isterinya yang sudah pergi buat selamanya.

    Pak Haji pula bersama Bu Hajah Maidah pada pagi yang sama memerhatikan matahari pagi yang cerah. Mereka ingin pernikahan Said bersama Norhana dibuat secara meriah.

    Jemputan mesti banyak. Orang-orang kampung mesti dijemput beramai-ramai.

    “Bagi Ana tidak perlu majlis yang megah Pa…cukuplah sederhana saja,” kata Norhana kepada bapa angkatnya Pak Haji.

    “Tapi Anakan belum pernah kahwin…apa salahnya kita rayakan semewah mungkin sekali dalam seumur hidup Ana.”

    Bu Hajah Maidah menyampuk. Dia memang menginginkan majlis perkahwinan Norhana cukup mewah dan berkelas.

    “Abang Said tidak mahu terlalu meriah…katanya cukup secara sederhana yang penting majlis pernikahan itu saja.”

    “Jangan ikut kata Said tu…dia sudah pernah merasai majlis berkahwin…sedangkan Ana tidak,” kata lagi Bu Hajah Maidah kepada Norhana. Pak Haji diam saja.

    “Kita boleh jemput orang kampung walaupun dengan jumlah yang ramai…,” kata Pak Haji.

    Dia ikut cakap Norhana saja.

    Setelah semua urusan pernikahan selesai akhirnya hari-hari yang ditunggu oleh Norhana pun tiba. Hari yang bersejarah dan bahagia baginya. Semua tetamu jemputan daripada sahabat handai serta keluarga dan orang-orang kampung berduyun-duyun mendatangi rumah Pak Haji.

    Setiap mereka menerima buah tangan daripada keluarga Pak Haji yang disediakan oleh Norhana sendiri. Semua hadiah untuk para tetamu perkahwinannya adalah dari koleksi yang berharga. Selain itu, setiap jemputan juga menerima sampul surat khusus daripada Norhana.

    Alangkah gembiranya mereka setelah tahu isi sampul surat itu adalah sekeping cek yang tertulis nilainya $2,000.

    Semua mereka menerima cek $2,000, hadiah ikhlas daripada Norhana bersama suaminya Said. Para jemputan mendoakan kebahagiaan untuk Norhana dan suaminya yang duduk atas mahligai pelaminan. Beramai-ramai mereka melaungkan…”Semoga kekal hingga ke akhir hayat…”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda