Friday, February 21, 2025
22 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tidak sengaja

    (Siri 8)

    Oleh Dino MN –

    “Ada perkara yang agak besar dalam keluarga kita yang hendak bapa sampaikan kepada kamu”.

    Pak Haji memulakan setelah semua mereka duduk di bilik tamu rumahnya. Pak Haji duduk di tengah persis pengerusi majlis. Hamidon duduk di sebelah kanan Pak Haji. Jalia anak perempuannya duduk di sebelah kanan bergandingan bersama mamanya Bu Hajah Maidah dan Norhana duduk di kiri Bu Hajah berhadapan dengan bapa mereka Pak Haji. Said pula duduk sebelah kiri. Semua anak-anaknya diam ingin mengetahui apa yang hendak diberitahu oleh bapa mereka.

    “Enam bulan yang lalu kita sekeluarga telah menerima Norhana sebagai anak angkat bapa dan mama…ertinya sekali gus adik angkat kamu dalam keluarga ini,” kata Pak Haji berhenti seketika sambil menatap wajah Norhana dan anak-anaknya.

    “Sekejap lagi Ana akan menjelaskan sedikit hal untuk kita semua,” dia menyambung.

    Norhana membuka fail yang dibawanya dari rumahnya. Semua dokumen itu akan diberikan kepada mereka untuk dibaca. Abang dan kakak angkatnya, Hamidon, Jalia dan Said perlu tahu hal itu. Ana, anak angkat Pak Haji dan Bu Hajah Maidah…adik angkat kepada anak-anak Pak Haji begitu tenang saja kerana dia biasa dengan keadaan seperti itu.

    Norhana membawa semua keluarga angkatnya belayar menaiki kapal persiaran Bosphorus Cruise semasa di Turkiye. – Freepik
    Norhana mencadangkan Pak Haji dan bu Hajah Maidah tinggal dirumahnya sementara menunggu rumah keluarga angkat siap diubahsuai. – Freepik

    “Bang Midon…,” panggil Ana kepada Hamidon. Hamidon kekejutan kerana dipanggil abang.

    Panggilan itu cuma dipakai oleh adik-adiknya Jalia dan Said.

    “Ya ada apa Ana?,” tanyanya setelah terdiam seketika.

    “Ni…tolong bagikan kertas untuk kita-kita semua,” Ana memberikan kertas dokumen itu kepada Hamidon setelah dia sampai depan mama dan Jalia yang duduk bergandingan dengan Ana. Hamidon terus memberi kertas itu kepada mama dan adik-adiknya.

    “Anggap saja apa yang ada dalam kertas itu sebagai penghargaan Ana kepada bapa, mama, abang-abang dan kakak yang baik hati pada Ana.

    “Ana membuat ini secara sukarela kerana Ana tidak punya siapa-siapa di dunia ini. Ana sebatang kara. Sekarang ini barulah Ana tenang kerana mempunyai keluarga angkat”.

    Setakat ini Ana tertunduk menangis mengenangkan hidupnya yang selama ini sendirian.

    Bu Hajah Maidah terus saja memeluk Ana dengan tangisannya yang tidak dapat dibendung. Jalia kakak angkatnya juga tak tahan menahan hibanya terus menangis sama.

    Pak Haji dan anak lelakinya Hamidon dan Said tunduk menahan pilu mendengar kata-kata Norhana.

    “Apa ertinya ni Ana? Bagaimana Ana dapat nombor kad pintar kami, sedangkan Ana belum lagi minta pada kami?,” tanya Hamidon setelah sunyi beberapa ketika.

    “Bapa yang bagi nombornya kepada Ana. Sebab peguam Ana mahu segera untuk diproses…,” jawab Ana sambil memandang kepada bapa angkat dan mama angkatnya Bu Hajah Maidah.

    Dalam kertas tersebut tertulis lima nombor akaun atas nama Pak Haji anak beranak.

    Nombor akaun bank baru. Tapi jumlahnya tidak Ana nyatakan dalam setiap akaun tersebut.

    Di kesempatan itu juga Ana telah menunjukkan plan renovation dan tambahan bilik pada rumah bapa angkatnya.

    “Besar juga tambahan rumah bapa ni Ana,” kata Jalia pada Ana setelah melihat pelan tersebut. Dalam pelan tambahan tersebut ada enam bilik semuanya yang luasnya sekitar 10 meter (m) x 15m yang termasuk di dalamnya bilik mandi dan tandas. Di halaman rumah juga ada pelan kolam renang sebesar 50mx30m.

    “Saja-saja Ana buat besar kak supaya ada masanya nanti senang kita berkumpul..,” jawab Ana menerangkan kepada mereka semua.

    “Semasa pembinaannya nanti bapa sama mama tinggal di rumah Ana saja dulu ya..,” kata Norhana meminta izin kepada adik beradik angkatnya. Bagi anak-anak Pak Haji mereka semua bersetuju bapa mereka tinggal sementara di rumah adik angkat mereka.

    Dalam masa lima bulan saja rumah Pak Haji sudah siap dan kelihatan begitu besar. Kini keluarga Pak Haji dan Bu Hajah Maidah bertambah menjadi keluarga besar. Keluarga anak-anaknya setiap minggu datang ke rumah bapa mereka bersama cucu-cucu Pak Haji.

    Sungguh meriah jika kesemua mereka berkumpul. Norhana juga akan ikut bila semuanya berkumpul.

    Hari cuti sekolah sudah bermula. Ana mengambil peluang untuk membawa semua keluarga angkatnya bercuti di luar negeri. Mula-mula Ana membawa mereka ke Turkiye, bandar bersejarah Istanbul. Norhana membawa mereka menginap di sebuah hotel sederhana mewah iaitu Hotel Sura Hagia Sophia.

    Di sekitar jalan menuju hotel terdapat restoran-restoran makanan yang menghidangkan masakan yang enak. Anak-anak buah angkatnya begitu iski melihat keindahan alam Istanbul yang sejuk mencengkam itu.

    Norhana juga membawa mereka belayar menaiki kapal persiaran Bosphorus Cruise di pagi hari.

    “Babu…babu mulutku keluar asap,” kata seorang dari anak buah angkatnya sambil menghembuskan nafasnya melalui mulut sambil mereka ketawa riang. Yang lain bising bersorak sambil tangan mereka menunjukkan kawanan burung camar yang ikut mengiringi Bosphorus Cruise sambil beberapa burung camar menjunam ke dalam laut menangkap ikan. Semua itu meriangkan hati keluarga angkatnya.

    Setelah lima hari berada di Turkiye, Norhana membawa keluarga angkatnya ke persinggahan mereka di Dubai. Di Dubai mereka disambut oleh pengurus besar hotel mewah yang mana, Norhana memiliki saham di hotel tersebut. Di sini keluarga Pak Haji cuma membeli belah di mall terbesar sebab mereka di sini cuma tiga hari sahaja. Lepas itu mereka akan singgah di Singapura beberapa hari sebelum pulang ke Brunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda