TOKYO, 28 APRIL – Seorang lelaki berusia 20an telah diselamatkan dari Gunung Fuji, Jepun – bukan sekali, tetapi dua kali dalam masa kurang dari seminggu – selepas dia kembali mendaki semula untuk mencari telefon bimbitnya, menurut laporan media tempatan.
Polis memberitahu AFP bahawa lelaki itu, seorang pelajar universiti warga China yang menetap di Jepun, ditemui Sabtu lalu oleh seorang pendaki lain di laluan gunung, lebih 3,000 meter dari paras laut.
“Dia disyaki mengalami penyakit akibat altitud tinggi dan telah dihantar ke hospital,” kata jurucakap polis Wilayah Shizuoka hari ini.
Menariknya, pihak berkuasa kemudian mendapati bahawa individu itu adalah orang sama yang telah diselamatkan dari Gunung Fuji empat hari sebelumnya, lapor penyiar TBS dan beberapa media lain.
Difahamkan, lelaki berkenaan diselamatkan menggunakan helikopter pada Selasa lalu, tetapi kembali ke gunung itu pada Jumaat untuk mengambil telefon bimbitnya yang tertinggal semasa operasi penyelamatan pertama.

Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada dia berjaya menemui telefonnya atau tidak, menurut laporan yang memetik sumber tanpa nama.
Gunung Fuji – gunung berapi aktif dan puncak tertinggi di Jepun, biasanya dilitupi salji hampir sepanjang tahun.
Laluan pendakiannya hanya dibuka dari awal Julai hingga awal September, tempoh di mana ribuan pendaki mendaki sepanjang malam untuk melihat matahari terbit di puncaknya.
Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya tidak mendaki di luar musim kerana keadaan boleh menjadi sangat berbahaya.
Gunung setinggi 3,776 meter itu telah diabadikan dalam pelbagai karya seni klasik, termasuk karya Hokusai, ‘Great Wave’. Letusan terakhir direkodkan kira-kira 300 tahun lalu.
Bagi mengawal kesesakan, pihak berkuasa tahun lalu memperkenalkan yuran masuk dan had jumlah pendaki untuk laluan Yoshida yang paling popular.
Mulai musim panas ini, semua pendaki di keempat-empat laluan utama Gunung Fuji perlu membayar yuran sebanyak 4,000 yen (AS$27). – AFP