LONDON, 2 JUN – Badan pengadil, Professional Game Match Officials Limited (PGMOL) mengecam kelakuan ‘tidak wajar dan keji’ yang dilemparkan ke atas Anthony Taylor selepas pegawai itu diganggu oleh penyokong yang marah di Lapangan Terbang Budapest berikutan aksi kontroversinya dalam perlawanan akhir Liga Europa.
Rakaman video di media sosial menunjukkan Taylor dan keluarganya cuba mengelak kumpulan yang marah ketika mereka berjalan melalui lapangan terbang selepas dia mengadili kemenangan Sevilla menentang Roma di Hungary baru-baru ini.
Taylor melayangkan kad kuning ke atas 13 pemain, tujuh daripadanya kepada pemain Roma, yang menyaksikan permainan dipenuhi dengan kelewatan kerana jumlah kekasaran yang luar biasa tinggi.
Kerusi dan botol dibaling ke arah pengadil dan keluarganya.
Taylor dan keluarganya akhirnya dibawa keluar dari sebuah kafe ke kawasan yang selamat oleh pihak keselamatan lapangan terbang.
Pengadil Inggeris itu juga menjadi sasaran jurulatih Roma, Jose Mourinho, yang dilihat memberi isyarat kepada Taylor dan menggelarnya sebagai ‘memalukan’ dengan kata-kata kesat di tempat letak kereta stadium selepas perlawanan.
Menjawab insiden di lapangan terbang itu, PGMOL berkata dalam satu kenyataan: “Kami menyedari video yang tersebar di media sosial menunjukkan Anthony Taylor dan keluarganya diganggu di Lapangan Terbang Budapest.
“Kami terkejut dengan tindakan yang tidak wajar dan keji yang ditujukan kepada Anthony dan keluarganya ketika dia cuba pulang daripada mengadili perlawanan akhir Liga Europa UEFA.
“Kami akan terus memberikan sokongan penuh kami kepada Anthony dan keluarganya,” tambah PGMOL. – AFP
