SEBULAN kemudian, datuk pergi ke tempat tersebut. Dia berhasrat untuk menemui perempuan cantik.
Tepat pukul tiga petang datuk pun masuk ke dalam hutan. Lebih kurang setengah jam berada di dalam hutan. Datuk diberkas oleh anggota tentera kerana masuk ke dalam kawasan hitam lalu dibawa ke balai polis. Seminggu datuk tidur dalam lokap sementara menanti hari perbicaraan. Bila dihadapkan ke mahkamah datuk didapati bersalah dan dihukum penjara selama seminggu, datuk bersyukur pada tuhan, kerana pihak mahkamah mengambil kira hukuman itu berjalan dari tarikh ia mula ditahan. Pada perbicaraan itu datuk pun dibebaskan.
Pagi itu, datuk bertolak dari rumah sesudah makan nasi dan minum kopi. Dia menaiki basikal sejauh dua batu untuk sampai ke Bukit Kota. Memang sudah dirancangnya untuk memburu ayam hutan pada sebelah pagi. Dia berpendapat pergi memburu pada sebelah pagi banyak untungnya, boleh meredah hutan hingga matahari jatuh.
Waktu datuk sampai di Bukit Kota, matahari sudah pun meninggi. Air embun di hujung daun nampak bersinar-sinar di panah matahari. Datuk tidak terus masuk ke dalam hutan. Dia singgah dulu di sebuah pondok kepunyaan kawannya. Dia bertanya pada kawannya, arah mana terapat bunyi kokok ayam hutan.Kawannya itu pun menunjukkan arahnya. “Batalkan saja rancangan kau tu,” ujar kawannya dengan tenang sambil merenung ke arah pokok-pokok hutan. Datuk tersenyum sambil melurut muncung senapangnya dua tiga kali dengan tapak tangan. “Kenapa?” Datuk menimang senapangnya. Kawannya terdiam tetapi merenung pada tali pinggang datuk yang digayuti peluru lalu berkata, “Merbahaya.”
“Kau takut aku ditangkap komunis, kalau tidak kenapa kau tahan aku.”
Datuk meletakkan buntut senapang ke bumi. Ia merenung pada puncak Bukit Kota. Datuk terdengar bunyi kokok ayam hutan. Mata datuk bercahaya, kokok ayam itu bertalu-talu dan bersahutan-sahutan pula. Datuk sudah tidak boleh bersabar lagi. Ia segera meletakkan senapang atas bahu dan bersedia untuk melangkah masuk ke dalam hutan. “Jangan terburu-buru nanti buruk padahnya,” kawan datuk yang bertahi lalat di pipi mengingatkan datuk.
“Kau usah banyak cakap, kalau mahu daging ayam hutan, cakap terang-terang, aku boleh beri. Berapa ekor kau mahu.” Balas datuk dan dia pun mengatur langkah menuju lorong ke dalam hutan. Kawannya segera mengejarnya. Tiba-tiba sahaja hati datuk jadi panas dengan perbuatan kawannya itu. “Usah pergi,” tahan kawannya.
“Ini urusan aku, kau tunggu di pondok habuan kau ada.”
“Aku tak mahu apa yang kau dapat, tapi kau mesti ingat tempat ini bukan tempat sebarangan, banyak orang yang sesat di dalamnya.”
“Dia orang itu siapa dan aku siapa, kalau tak cukup syarat di dada aku tak jadi pemburu tau.” Datuk mula membangga diri dan terus masuk ke dalam hutan. Kawannya geleng kepala. Makin jauh datuk meredah hutan, makin kerap didengannya suara kokok ayam jantan. Datuk pun sampai ke satu kawasan agak lapang dan berhenti di situ, tiba-tiba dia terpandang sekumpulan ayam hutan keluar dari celah-celah pokok menuju ke kawasan tanah lapang, mencakar-cakar tanah di situ, kemudian masuk ke dalam semak kembali. Memang tidak salah lagi inilah tempatnya kata datuk dalam hati.
Baru lima langkah datuk melangkah dia terdengar kokokan ayam. Datuk berpatah balik ke tempat asal dan di situ sambil menghisap rokok daun nipah. Sepuluh minit masa berlalu, ayam hutan tidak juga datang ke tanah lapang. Waktu datuk mencampakkan puntung rokoknya ke pangkal pohon meranti patah cabang, datuk terdengar kokokan ayam lagi.
Datuk tersenyum. Dia yakin ayam-ayam itu akan datang juga ke situ. Memang benar dugaan datuk. Ranting pokok sebelah kanannya bergerak-gerak. Seekor ayam hinggap di situ, kemudian turun ke tanah lapang. Ayam itu memanggil kawan-kawannya yang lain. Dua tiga ekor ayam betina keluar dari celah-celah pokok lalu menghampiri ayam jantan.
Satu peluang yang baik bagi datuk melepaskan tembakan. Ayam jantan menggelupur atas tanah. Datuk segera menerkam lalu menyembelihnya. Masa datuk mengikat kaki ayam untuk digantung ke pinggangnya, seekor ayam betina meluru padanya berpusing di depan datuk dua tiga kali. Datuk segera menangkapnya.
Mata golok yang tajam pun memutuskan urat di tengkok ayam. Bila datuk memeriksa badan ayam itu ternyata pangkal paha ayam itu sudah ditembusi peluru. Dua ekor ayam hutan tergantung di pinggang datuk. Cukup senang hatinya. Dan datuk bercadang salah seekor daripada ayam itu akan diberikan pada kawannya yang berladang di kaki bukit. Panas kian terik dan datuk mengambil keputusan untuk pulang sahaja. Pada sebelah petangnya dia akan datang lagi berburu ke situ.
Datuk mendongak ke langit. Matahari sudah agak condong ke barat. Datuk senyum, dia dapat menduga pukul berapa sekarang. “Masih awal lagi, kalau tak silap baru pukul tiga,” kata datuk dalam hati. Dengan cara mendadak sahaja dia membatalkan rancangannya untuk pulang. Dia mahu memburu lagi, sebelum matahari jatuh di kaki langit dan bercadang untuk menembak paling kurang lima ekor ayam lagi.
Alang-alang berburu biar puas. Esok lusa belum tentu boleh datang lagi ke sini. Siapa tahu entah esok, entah tulat kawasan ini akan dijadikan `Black Area’. Sebelum semuanya berlaku biar dia gunakan peluang ini. Itulah yang difikirkan oleh datuk. Dia menyumbatkan peluru ke dalam laras senapang. Datuk berjalan ke arah utara mengikuti lorong ayam hutan dengan harapan di hujung lorong itu dia akan bertemu dengan haiwan yang dicarinya. Baru lima ela berjalan datuk sudah terdengar kokok ayam jantan.
“Kali ini kawan-kawan yang tidak mahu ikut aku memburu tentu rugi,” kata datuk dalam hati sambil mematahkan dahan pokok hutan. Datuk kian jauh masuk ke dalam hutan. Datuk terdengar bunyi suara orang bercakap. Dia segera menyembunyikan diri di celah rimbun pokok hutan. Suara orang bercakap itu makin lama makin dekat berselang-seli dengan bunyi kokokan ayam dan suar itik. Sesekali datuk terdengar bunyi orang mengukur kelapa. Puas datuk melihat kiri kanan, dia tidak nampak pun bayang manusia. Datuk mengira itu cuma perasaannya sahaja.
Ia segera keluar dari tempat persembunyian dan meneruskan perjalanannya. Datuk terasa kepalanya pening dan ia tercium bau wangi di kelilingnya. Dia menduga penunggu Bukit Kota mahu menguji dirinya. Cepat-cepat datuk membaca sesuatu, tapi bau wangi itu makin kuat, kepalanya terasa berdenyut-denyut.
“Ganjil,” kata datuk sambil mengaru tanah. Dengan hujung goloknya datuk membuat garisan tiga segi di muka bumi. Tetapi hujung garisan itu dipacaknya dengan ranting kayu. Mulut datuk terus membaca sesuatu dengan tenang. Kemudian dia menghembus pancang yang dipacaknya itu dengan mulut. Ketiga-tiga pancang itu rebah ke bumi. Tahulah datuk, bahawa dia tidak berhadapan dengan penunggu Bukit Kota, tetapi berhadapan dengan makhluk lain yang serba aneh.
Datuk meneruskan per-jalanannya. Bau wangi tetap menyumbat lubang hidungnya. Daun-daun hutan yang tua berguguran ke bumi. Angin bukit yang bertiup menyegarkan badannya. Rasa pening di kepalanya hilang. Datuk berhadapan dengan pokok-pokok bunga yang beraneka rupa. Datuk tidak peduli pada semuanya itu dan menyimpang ke kiri, masuk ke arah hutan kelubi. Di situ juga datuk bersua dengan pokok-pokok bunga.
Di hujung pokok-pokok bunga itu terdapat jalan tanah merah. Datuk terus ikut jalan itu, kerana kokokan ayam hutan datangnya dari situ. Datuk berhenti berjalan, bila ia terpandang seorang perempuan tua berdiri di hujung jalan. Bila melihat datuk berhenti, perempuan itu segera menghampirinya. “Kau sesat,” kata perempuan itu.
“Tidak.”
“Habis macam mana kau ke mari.”
“Saya memburu ayam.” “Patutlah ayam aku banyak yang hilang, sudah mari singgah di rumah aku dulu.”
Datuk terus mengikuti perempuan tua itu ke rumahnya. Kerana perempuan itu mendakwa, bahawa ayam yang tergantung di pinggang datuk itu, adalah ayam kepunyaannya, tanpa soal jawab datuk terus menyerahkan kepadanya. Ayam itu dijadikan gulai yang kemudiannya dijadikan hidangan makan malam buat datuk. Selain daripada perempuan tua itu, datuk dapat berkenalan dengan seorang perempuan muda yang tinggal serumah dengan perempuan tersebut.
Datuk diberitahu oleh perempuan tua, bahawa perempuan muda itu adalah anaknya, datuk cuma angguk kepala sahaja, kemudian datuk minta perempuan itu menghantarkannya ke kaki Bukit Kota. Permintaan datuk itu tidak dapat dipenuhi oleh perempuan tua tersebut. Ia minta datuk bermalam di rumahnya. “Baiklah, tetapi pagi esok saya mesti balik,” kata datuk.
“Boleh, kami tidak pernah mungkir janji.”
“Hantarkan saya sampai ke kaki bukit.”
“Tentulah boleh, tapi kau mesti berjanji kepada kami.” “Janji apa?”
“Jangan menembak binatang ternakan kami.”
Datuk terdiam. Apa haknya perempuan tua ini menahan kesukaannya. Datuk menatap wajah orang tua itu lama-lama. Orang tua itu tersenyum. “Kau susah dengan syarat itu?”
“Tak susah, tetapi..” “Memburulah di tempat lain tetapi jangan di sini.”
“Baiklah.”
“Kalau kau mungkir janji buruk padahnya.” Orang tua itu mengingatkan datuk dengan nada yang keras. Bulu tengkuk datuk meremang.
Malam itu datuk tidak tidur. Orang tua itu mengajak datuk berborak hingga menjelang subuh. Diam-diam datuk jatuh hati pada perempuan muda yang nampak bersopan santun. Cantik orangnya dengan sepasang mata yang besinar.
Berkulit putih dan rambut terhurai di atas bahu. Subuh itu datuk terpaksa sembahyang subuh di surau bersama dengan penduduk di kampung tersebut. Orang di situ menerima datuk dengan mesra.
Seperti yang dijanjikan. Orang tua itu bersama anaknya menghantar datuk sehingga ke kaki Bukit Kota. Sebagai tanda kenangan anak orang tua itu menghadiahkan kepada datuk sebilah keris pendek. “Ingat, jadilah manusia yang teguh pada janji, tidak menipu dan menyeksa sesama mahkluk, ” kata orang tua, bila bertemu dengan jalan ia mula masuk ke hutan dulu.
“Kalau mahu ayam minta pada kami, jangan menembaknya atau mencurinya,” sambung perempuan tua itu. Datuk mengangguk kepala sambil menoleh ke kanan. Bila datuk menoleh ke kiri semula, perempuan dan anaknya hilang. Datuk pulang tanpa ayam hutan tetapi membawa keris pendek yang terpaksa di usap dengan kemeyan setiap malam Jumaat. Itu pesan perempuan tua yang mesti dipatuhinya, tetapi setiap kali keris itu diusap, anak perempuan tua itu akan menjelma. Satu perkara yang tidak disenangi oleh datuk.
Lantas datuk mengambil keputusan untuk memulangkan keris itu. Dia pun pergi ke Bukit Kota, satu hari satu malam dia berada di situ. Dia tidak juga bertemu rumah perempuan tua itu. Tempat yang ditandanya dulu, ternyata hutan besar yang menakutkan dan penuh dengan pokok-pokok besar dan akar kayu berjuntaian. Daripada kawan datuk yang membuat pondok di kaki Bukit Kota, datuk mendapat tahu, bahawa kampung yang dimasukinya dulu ialah kampung orang bunian. Dan datuk beruntung, kerana orang bunian itu berkenan padanya kerana itu dia dilayan, kalau orang bunian tidak berkenan, sudah pasti datuk sesat di dalam hutan berbulan-bulan.
Walaupun begitu, datuk masih dapat menjalinkan silaturahimnya dengan orang bunian dengan baik. Malah dia telah dikira sebagai salah seorang anggota orang bunian.
Datuk mendapat tahu semuanya ini menerusi anak perempuan orang tua melalui keris pendek yang diusapnya pada tiap-tiap malam Jumaat. “Ingat, buat sesama manusia, jangan tamak dalam hidup, bersihkan diri dari perasaan hasad dan dengki,” kata perempuan tua itu pada datuk pada suatu malam.
“Saya tahu,” jawab datuk. Kemudian perempuan itu menghilangkan diri di tengah-tengah bau kemenyan yang semerbak. Dua minggu kemudian, datuk menghilangkan diri selama seminggu. Seluruh anak buahnya jadi gempar.
Masuk minggu yang kedua, datuk pulang dan memberitahu nenek, bahawa dia telah berkahwin dengan orang bunian. Nenek terdiam. Tidak memberikan sebarang komen.