YANGON, 29 DIS – Tiga anak ikan lumba-lumba Irrawaddy telah dikesan baru-baru ini di tengah Sungai Ayeyarwady di Myanmar, lapor Global New Light of Myanmar yang dikendalikan kerajaan hari ini.
Dua nelayan yang sedang menangkap ikan di Sungai Ayeyarwady antara Mandalay dan Kyaukmyaung pada 21 Disember telah menyaksikan kemunculan anak ikan lumba-lumba itu, menurut laporan tersebut.
Seekor daripada ikan lumba-lumba itu mempunyai panjang kira-kira 1.5 kaki manakala dua yang lain masing-masing mempunyai panjang kira-kira tiga kaki, katanya.
U Han Win, seorang pegawai dari Jabatan Perikanan negara itu, memberitahu Xinhua hari ini rekod mereka menunjukkan kadar kelahiran tahunan ikan lumba-lumba di Myanmar adalah antara tiga hingga 10.
Kawasan antara Mandalay dan Kyaukmyaung, di mana anak ikan lumba-lumba itu ditemui, merupakan salah satu daripada dua kawasan pemuliharaan ikan lumba-lumba utama di Myanmar, katanya, sambil menambah bahawa jabatan perikanan juga meningkatkan kesedaran dan pendidikan mengenai pemuliharaan ikan lumba-lumba.
Di Myanmar, ikan lumba-lumba Irrawaddy bukan sahaja ditemui di Sungai Ayeyarwady tetapi juga di kawasan pantai seperti perbandaran Bogale, Rakhine dan Tanintharyi, katanya.
Dianggarkan terdapat kira-kira 300 hingga 400 ekor ikan lumba-lumba Irrawaddy di Myanmar, katanya. – Xinhua
