MANILA, 29 Nov – Tiga orang pegawai polis Filipina dijatuhi hukuman penjara bagi tempoh beberapa dekad hari ini, kerana membunuh seorang remaja ketika menjalankan operasi antinarkotik, merupakan kes pertama ke atas pegawai polis yang melancarkan perang dadah Presiden Rodrigo Duterte.
Duterte berikrar akan mengampunkan pihak berkuasa yang terlibat dalam tindakan berdarah beliau, malah enggan mempertahankan pembunuhan Kian delos Santos pada 2017 di sebuah lorong di Manila, yang mencetuskan bantahan luar biasa ke atas kempen itu.
Polis berkata remaja berusia 17 tahun itu merupakan penghantar dadah yang melepaskan tembakan apabila cuba diberkas. Bagaimanapun, rakaman kamera litar tertutup menunjukkan dua orang pegawai polis menyeret remaja itu yang tidak bersenjata sebelum ditembak hingga mati.
Keluarga Delos Santos menangis di bilik mahkamah utara Manila yang penuh sesak selepas lelaki berkenaan disabitkan dengan kesalahan dan dijatuhi hukuman kekal yang membawa hukuman penjara minimum 20 tahun.
Para pengkritik perang dadah menyambut baik hukuman itu sebagai contoh keadilan dan kebertanggungjawaban, yang menurut mereka adalah luar biasa sejak Duterte melancarkan kempen untuk menghapuskan narkotik di Filipina pada 2016. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2018/11/P13-B_301118.jpg)