Thursday, May 1, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga angkasawan China selamat kembali ke Bumi

    BEIJING, 30 APRIL – Tiga angkasawan China selamat kembali ke Bumi hari ini, selepas enam bulan berada di stesen angkasa negara itu, menurut siaran media rasmi, ketika Beijing terus berusaha mencapai cita-citanya untuk menjadi kuasa angkasa utama.

    China telah melaburkan berbilion dolar dalam program angkasanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini sebagai usaha mencapai apa yang digambarkan oleh Presiden Xi Jinping sebagai ‘impian angkasa’ negara itu.

    Ekonomi kedua terbesar dunia itu merancang untuk menghantar misi angkasawan ke Bulan menjelang akhir dekad ini dan membina sebuah pangkalan di permukaan Bulan.

    Pelancaran terbaharu menghantar tiga angkasawan ke stesen angkasa Tiangong minggu lalu, menandakan permulaan misi Shenzhou-20. Mereka menggantikan kru Shenzhou-19 iaitu Cai Xuzhe, Song Lingdong dan Wang Haoze, dengan kapsul pendaratan mereka mendarat di wilayah Inner Mongolia di utara China pada hari ini.

    Beberapa saat selepas pendaratan, agensi berita rasmi Xinhua mengumumkan misi itu mencapai ‘kejayaan sepenuhnya’, sambil menambah ketiga-tiganya berada dalam keadaan sihat.

    Gambar daripada penyiar negara CCTV menunjukkan kapsul tersebut, disambungkan kepada payung terjun berjalur merah dan putih, menuruni langit biru sebelum mencecah tanah diselubungi debu padang pasir yang berterbangan.

    Pasukan pegawai berbaju seragam putih dan jingga segera membuka kapsul keemasan itu, dan seorang daripada mereka menanam bendera kebangsaan yang berkibar di tanah berpasir berhampiran.

    Kru Shenzhou-19 telah berada di stesen angkasa sejak Oktober lalu, di mana mereka menjalankan pelbagai eksperimen dan mencatat rekod baharu untuk aktiviti berjalan terpanjang pernah dilakukan oleh China di angkasa. – AFP

    Tiga angkasawan China yang berlepas ke bulan pada 30 Oktober 2024 telah selamat kembali ke Bumi, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda