MOSCOW, 20 APRIL – Sebuah kapsul Soyuz yang membawa dua angkasawan Rusia dan seorang angkasawan Amerika dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) telah mendarat di Kazakhstan hari ini, menandakan berakhirnya tugasan penyelidikan mereka selama tujuh bulan.
Menurut agensi angkasa Rusia, Roscosmos, kapsul yang membawa angkasawan Roscosmos, Alexey Ovchinin dan Ivan Vagner serta angkasawan NASA, Don Pettit mendarat di kawasan padang rumput Kazakhstan berhampiran bandar Zhezkazgan pada jam 6:20 pagi. Roscosmos memaklumkan pendaratan yang dibantu dengan payung terjun itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Ketiga-tiga angkasawan itu pulang selepas menghabiskan 220 hari di angkasa dan mengorbit Bumi sebanyak 3,520 kali, kata NASA dalam satu kenyataan. Agensi itu turut menyatakan secara kebetulan Pettit menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-70 pada hari yang sama.
NASA juga memaklumkan bahawa pemeriksaan kesihatan selepas pendaratan sedang dijalankan seperti biasa, dan kru akan dibawa ke pusat pemulihan di Karaganda, Kazakhstan.
Pettit kemudiannya akan menaiki pesawat NASA ke Pusat Angkasa Johnson di Houston, manakala Roscosmos menyatakan Ovchinin dan Vagner akan berlepas ke pangkalan latihan di Star City, Rusia.
Pada Jumaat lalu, Ovchinin telah menyerahkan pucuk kepimpinan ISS kepada angkasawan Jepun, Takuya Onishi dalam satu upacara penyerahan tugas. – AP
