Wednesday, November 13, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga angkasawan selamat mendarat di Kazakhstan

    MOSCOW, 23 SEPT – Dua angkasawan Rusia dan seorang angkasawan Amerika Syarikat berjaya mendarat dengan selamat di Kazakhstan hari ini selepas menamatkan misi di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), termasuk misi rekod bagi dua angkasawan Rusia.

    Kapsul Soyuz yang membawa Oleg Kononenko, Nikolai Chub dan Tracy Dyson mendarat di padang rumput Kazakhstan kira-kira tiga jam setengah selepas berpisah dari ISS.

    Pendaratan itu berlangsung tanpa sebarang masalah, dengan kapsul tersebut mendarat menggunakan payung terjun berwarna merah dan putih pada kelajuan 7.2 meter sesaat.

    Beberapa roket kecil diaktifkan bagi memperlahankan kelajuan pendaratan semasa ia mendarat di atas tanah.

    Kononenko dan Chub, yang menamatkan 374 hari di ISS, memecahkan rekod dunia bagi tempoh terpanjang berada di stesen angkasa tersebut secara berterusan. Sementara itu, Dyson telah menjalankan misi selama enam bulan di stesen angkasa berkenaan.

    Sebaik tiba di lokasi pendaratan, ketiga-tiga angkasawan itu dikeluarkan dari kapsul dan ditempatkan di kerusi khas untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan graviti bumi sebelum menjalani pemeriksaan perubatan di khemah berdekatan.

    Sementara itu, lapan angkasawan lain masih berada di ISS, termasuk dua warga Amerika, Butch Wilmore dan Suni Williams, yang sepatutnya pulang lebih awal tetapi terpaksa kekal lebih lama disebabkan masalah teknikal pada kapsul Starliner keluaran Boeing. NASA telah memutuskan untuk tidak menggunakan Starliner selepas masalah sistem pendorong dan kebocoran helium dikesan, dan merancang untuk membawa pulang kedua-duanya menggunakan kapsul SpaceX tahun depan. – AP

    Ahli pasukan penyelamat membantu angkasawan Roscosmos keluar dari kapsul Soyuz MS-25 Rusia di tenggara bandar Kazakhstan, Zhezkazgan, pada 23 September. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda