BEIJING, 14 NOV – Tiga angkasawan China akan kembali ke Bumi hari ini, menurut agensi angkasa Beijing, selepas ditangguh seketika apabila kapal angkasa mereka terkena serpihan di orbit.
Stesen angkasa Tiangong, permata dalam program angkasa di China dan dikendalikan oleh pasukan tiga angkasawan yang digilirkan setiap enam bulan.
Kepulangan kapal angkasa Shenzhou-20 dan kru pada asalnya dijadualkan pada 5 November iaitu selepas misi Shenzhou-21 tiba untuk mengambil alih tugas.
Namun, akibat insiden serpihan tersebut, kepulangan mereka ditangguhkan dan ketiga-tiga angkasawan itu akan pulang menggunakan kapal angkasa Shenzhou-21 sebagai gantinya, menurut Agensi Angkasa China (CMSA) dalam satu kenyataan.
Kapal itu berjaya berpisah daripada stesen angkasa pada jam 11:14 pagi hari ini, lapor penyiar China, CCTV.

Angkasawan Chen Dong, Chen Zhongrui dan Wang Jie berada dalam ‘keadaan baik,’ kata CMSA.
Tapak pendaratan Dongfeng di utara Inner Mongolia sedang ‘membuat persiapan rapi untuk menyambut kepulangan mereka,’ tambahnya.
Kapal angkasa Shenzhou-20 yang rosak akan kekal di orbit ‘untuk menjalankan eksperimen berkaitan,’ menurut CCTV.
Cermin tingkapnya mengalami ‘retakan kecil’ yang dipercayai akibat hentaman serpihan.
China telah melaburkan berbilion-bilion dolar dalam program angkasanya dalam usaha menyaingi Amerika Syarikat dan Rusia.
Beijing mempunyai perancangan besar untuk menghantar misi angkawasan ke Bulan menjelang akhir dekad ini dan akhirnya membina pangkalan di permukaan Bulan. – AFP
