BANDAR SERI BEGAWAN, 6 APRIL – Tiga atlet badminton Negara Brunei Darussalam akan menyertai kejohanan badminton berprestij terbesar di Asia, BANK OF NINGBO Badminton Asia Championships 2025 dalam pusingan kelayakan Kategori Perseorangan Lelaki dan Beregu Lelaki.
Atlet-atlet tersebut, Mohamad Iqbal Asyraf bin Mohamad, Mohd Marhanif bin Mohd Ali dan Kan Kah Kit yang kini sudah berada di Republik Rakyat China, ditemani oleh Pengurus merangkap Jurulatih, Muhammad Dzakwan Saifullah Sia.
Dalam pusingan kelayakan itu nanti, Kan Kah Kit ditempatkan dalam Kumpulan B bersama pemain dari Vietnam dan Sri Lanka, manakala pasangan beregu Iqbal dan Marhanif akan bertemu pasangan beregu dari Jepun dan Sri Lanka juga dalam Kumpulan B.
Kejohanan yang bermula pada 8 April hingga 13 April ini akan berlangsung di Ningbo Olympic Sports Centre Gymnasium, Ningbo, China.
Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar ialah Presiden Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam (PBKBD), Mohd Zuno Kartono bin Haji Ali dan wakil para penaja, Al-Nur Boutique dan Continental Tour Brunei.
Kejohanan badminton itu juga disertai oleh pemain-pemain badminton bertaraf dunia di Asia dan ia merupakan peluang terbaik bagi atlet-atlet negara mencabar kebolehan masing-masing untuk meningkatkan mutu badminton diri sendiri dan juga standard badminton negara amnya.
