Tiga atlet Olimpik positif COVID-19

BEIJING, 18 NOV – Tiga atlet yang menjalani latihan untuk Olimpik Musim Sejuk Beijing telah diuji positif COVID-19, kata pegawai China hari ini, dengan negara itu mengambil langkah berjaga-jaga terhadap koronavirus sebelum Sukan.

Penganjur Beijing 2022 enggan mengambil risiko dengan sukan dijangka bermula pada Februari, menyekat kemasukan ke ibu negara dan mendesak ujian virus dilakukan setiap hari ke atas ribuan atlet yang akan dikekalkan dalam gelembung ‘tertutup’.

Salah seorang atlet asing diuji positif di lapangan terbang apabila masuk ke negara itu dan dihantar ke hotel kuarantin bersama seorang lagi rakan sepasukan kerana mereka tidak mempunyai gejala, kata pegawai minggu lalu.

Namun individu ketiga telah diuji positif disebabkan seorang kontak rapat kes sebelumnya, kata Zhao Weidong, ahli jawatankuasa penganjur Olimpik hari ini.

Pesakit terakhir tidak menunjukkan gejala dan juga telah dipindah ke pusat kuarantin untuk ‘pemantauan perubatan,’ kata Zhao pada sidang media.

Pihak berkuasa terus ‘menjalankan ujian ke atas orang, bahan dan alam sekitar, serta menjalankan pemantauan kesihatan dan mensanitasi kawasan sekeliling,’ tambah Zhao.

China bersedia untuk mengatasi salah satu cabaran terbesar terhadap strategi sifar COVID-19 ketika ribuan atlet dijangka membanjiri Beijing untuk sukan berkenaan, yang akan diadakan dari 4 hingga 20 Februari.

Pihak berkuasa bandar pada minggu ini mengenakan peraturan baharu ketat ke atas pelawat yang masuk, mewajibkan semua pelawat ke Beijing menunjukkan keputusan ujian COVID-19 negatif dalam masa 48 jam lalu dan membatalkan penerbangan dari kawasan berisiko tinggi dalam negara.

Olimpik akan menguji keupayaan negara untuk membendung pandemik, dengan penganjur berjanji tiada penonton di stadium dan melarang penonton dari luar China. – AFP

Satu pesanan berbunyi ‘Demi Masa Depan Bersama’, slogan untuk acara Olimpik dan Paralimpik Beijing 2022 terpampang di skrin gedung membeli-belah di Beijing pada 18 November 2021. – AFP