Wednesday, May 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga atlet sahut cabaran memanah

    Oleh Fadhil Yunus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Tiga orang atlet memanah dari Kelab Memanah Seri Begawan akan mewakili Negara Brunei Darussalam di Kejohanan Terbuka Memanah Singapura kali ke-3 2019 di Stadium ActiveSG Bukit Gombak bermula hari ini hingga Ahad.

    Kejohanan tersebut, yang merupakan anjuran Persatuan Memanah Singapura, akan menyaksikan negara diwakili oleh Mohammad Shah Rezza bin Nassaruddin, Khairul Ariffin bin Haji Baha dan Muhamad Azry Masria Al-Asri bin Haji Masri.

    Sebagai persiapan bagi kejohanan itu, para atlet negara telah menjalani latihan selama dua bulan, yang mana mereka berlatih empat kali seminggu.

    Khairul Ariffin, yang baru-baru ini menyertai satu kejohanan di Thailand, meluahkan harapannya untuk memenangi pingat buat negara.

    Beliau menambah bahawa kejohanan itu juga berperanan sebagai satu pendedahan dan pengalaman bermakna buat atlet negara untuk merasai bagaimana kejohanan dianjurkan di peringkat antarabangsa.

    Selepas kejohanan di Singapura itu nanti, beliau akan meneruskan penyertaan di Kejohanan Memanah Antarabangsa Johor kali ke-4 2019 pada hujung September ini dan awal Oktober.

    Khairul Ariffin mengongsikan bahawa peserta dari Korea dan Taiwan China merupakan yang terbaik dalam sukan memanah, sementara Amerika Syarikat adalah yang terbaik dalam acara individu.

    Beliau menambah bahawa Malaysia juga mempunyai atlet kelas dunia seperti Khairul Anuar Mohammad, yang meraih pingat perak di Kejohanan Dunia di Belanda pada Jun.

    Mohammad Shah Rezza, Khairul Ariffin dan Muhamad Azry Masria Al-Asri bergambar ramai ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. – Gambar oleh Rahwani Zahari
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda