MANILA, 9 OKT – Polis Filipina berjaya membunuh tiga banduan militan yang mempunyai kaitan dengan Kumpulan IS selepas mereka melancarkan amuk di penjara, hari ini.
Semasa kejadian tersebut, seorang pegawai polis ditikam dan seorang bekas senator pembangkang dijadikan tebusan buat seketika dalam cubaan melarikan diri yang gagal daripada kemudahan keselamatan maksimum di ibu pejabat polis di ibu kota, menurut kenyataan polis.
Ketua Polis Negara, Jeneral Rodolfo Azurin Jr berkata bahawa bekas Senator, Leila de Lima, bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dan telah dibawa ke hospital untuk rawatan selepas cubaan melarikan diri dan menahan tebusan di penjara tahanan berprofil tinggi di kem utama polis di Metropolitan Manila.
Salah seorang daripada tiga orang banduan telah menikam seorang pegawai polis yang cuba menghantar sarapan pagi selepas waktu subuh di kawasan terbuka, di mana para tahanan boleh melakukan senaman di luar bangunan.
Seorang pegawai polis dari mentara sentri melepaskan tembakan amaran, dan kemudian menembak dan membunuh dua daripada tahanan, termasuk komander kumpulan Abu Sayyaf, Idang Susukan, apabila mereka enggan mematuhi arahan, menurut kenyataan polis.

Banduan ketiga berlari ke sel de Lima dan menjadikannya tebusan buat seketika, tetapi dia turut ditembak mati oleh komando polis, kata Azurin.
“Dia (de Lima) dalam keadaan selamat.
“Kami berjaya menyelesaikan kejadian di dalam pusat tahanan dengan segera,” Azurin memberitahu wartawan dan mempertahankan tindakan polis untuk menembak tahanan tersebut.
“Senator De Lima sudah dijadikan tahanan jadi adakah perlu untuk kami membuatkan keadaan sangat kritikal ini berterusan?”
Susukan, yang telah dipersalahkan kerana membunuh puluhan orang dan memancung tahanan, termasuk pelancong luar, telah ditahan dua tahun lalu di bandar Davao di bahagian selatan.- AFP