Tuesday, September 17, 2024
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga bulan berlalu, hutang rakan belum selesai

    Salam hormat kepada semua pembaca ruangan curhat ini, sekadar ingin berkongsi mengenai kisah ku, di mana tiga bulan lalu, aku pernah meminjamkan sejumlah wang kepada seorang rakan baik yang sedang kesempitan.

    Pada waktu itu, hatiku tersentuh dengan kesulitannya dan tanpa ragu-ragu aku memberikan pinjaman tersebut. Dia berjanji akan membayar balik dalam masa sebulan.

    Namun, kini sudah tiga bulan berlalu dan kelibatnya pun sangat jarang kelihatan.

    Setiap kali kami bertemu, dia seolah-olah melupakan janji tersebut. Aku tidak mahu kelihatan mendesak atau menekannya, kerana aku faham betapa sukarnya keadaan ekonomi sekarang. Namun, hati ini semakin hari semakin resah. Aku perlukan wang untuk menampung keperluan keluarga. Setiap kali memikirkan perkara ini, pasti fikiran ku becelaru bagaimana untuk menagih semula hutang tersebut.

    Aku tidak tahu bagaimana untuk memberitahunya tanpa menjejaskan hubungan persahabatan kami. Aku tidak mahu dia berasa tersinggung, namun aku juga perlu mempertahankan hak ku. Mungkin ini satu pengajaran bagi diriku untuk lebih berhati-hati dalam meminjamkan wang pada masa hadapan, walaupun kepada rakan baik.

    Gambar Freepik

    Kadang-kadang pernah juga aku terfikir, adakah dia sedar akan kesulitan ku? Atau mungkin dia juga dalam keadaan yang lebih sukar daripada yang ku sangkakan? Setiap kali kami bertemu, aku cuba memberi pembayang secara halus tentang pinjaman tersebut, tetapi dia hanya tersenyum dan mengubah perbualan kepada perkara lain.

    Perasaan ini menjadi semakin rumit apabila aku mendengar dia membeli barang-barang yang bukan keperluan. Perasaan cemburu dan marah mula menghantui fikiran. Adakah aku terlalu memikirkan perkara ini? Adakah aku yang salah kerana memberi pinjaman tanpa memikirkan akibatnya?

    Aku berharap dia akan segera menyelesaikan hutangnya, bukan hanya kerana wang itu, tetapi juga untuk melegakan beban mental yang semakin menghimpit.

    Keadaan inilah yang membuatku lebih memahami betapa pentingnya komunikasi yang jujur dan terbuka dalam persahabatan. Aku berdoa agar hubungan kami tetap utuh dan persahabatan kami terus bertahan meskipun diuji dengan masalah seperti ini.

    Semoga Allah memberikan jalan keluar yang terbaik dan membuka hati rakanku untuk menyelesaikan hutangnya.

    Wazzy

    NASIHAT DANG MP

    Terima kasih di atas perkogsian kisah awda di atas. Pertama sekali, ingin saya nyatakan bahawa apa yang awda alami adalah suatu situasi yang semakin sering berlaku tika ini.

    Memahami situasi kewangan yang dihadapi adalah langkah pertama yang sangat baik.

    Untuk menguruskan situasi ini, pada hemat saya, awda patut mulakan dengan berkomunikasi secara jelas dan sopan dengan rakan awda mengenai hutang tersebut.

    Pertimbangkan alternatif pembayaran seperti ansuran kecil jika rakan awda menghadapi kesukaran. Sentiasa dokumentasikan pinjaman untuk rujukan masa hadapan dan pastikan awda mempunyai simpanan kecemasan yang mencukupi.

    Utamakan keperluan kewangan sendiri sebelum memberi pinjaman dan pertimbangkan mendapatkan nasihat legal jika perlu. Semoga urusan awda dipermudahkan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda