Monday, October 7, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga dekad menabur bakti

    (Siri 1)

    Oleh Ugan Brunei –

    Masa pantas berlalu. Dari saat, ke minit, ke jam, ke hari, ke minggu, ke bulan, ke tahun, ke dekad, banyak yang dilalui. Usia semakin bertambah, namun baki usia semakin berkurang. Kita tidak tahu sampai mana Yang Maha Pencipta menoktahkan hidup kita namun kita hanya mampu berusaha, berdoa dan tawakal amantu billah.

    Tiga dekad bukan masa yang pendek. Banyak pengalaman pahit dan manis ditempuh, semuanya membawa iktibar dan pengajaran. Bagiku, cukup untuk mematangkan diri kita, mempersiapkan jiwa kita, mengasuh personaliti kita, memantapkan fokus dan prioriti kita yang berpijak di dunia fana pinjaman Yang Maha Kuasa ini.

    Dekad pertama mula ceritanya 5 Julai 1993. Seminggu sebelumnya, aku menerima makluman dari Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, yang aku ditempatkan di Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri untuk mengajar subjek Pure Biology dan Combined Science. Reaksi pertamaku, kan sekolah tersebut pelajarnya semua perempuan.

    Terbayang terus bagaimana nanti penerimaan mereka terhadapku sebagai pendidik, pengalamanku bersama rakan setugas serta interaksi di makmal sains kerana kebanyakan kuliah diadakan di makmal dan menggunakan perkakas dan peralatan makmal, tabung uji, botol kimia, pembakar Bunsen (Bunsen burner), mikroskop serta peralatan tajam dan seumpamanya.

    Hari pertama itu, aku diberikan jadual waktu mengajar sebanyak 18 period seminggu dan dibimbing oleh Ketua Jabatan Sains, Madam Tan Lian Wah dan diperkenalkan pada suasana kelas Tingkatan 4D (sekarang Tahun 10) yang belajar di Makmal Biology.

    Kebanyakan kuliah melibatkan pembelajaran Pure Biology dan Combined Science diadakan dalam makmal sains. – Freepik
    Kelab Permainan Dalam diasaskan dengan permainan carrom, catur, dam, scrabble dan mastermind. – Freepik

    Di hari seterusnya aku diperkenalkan pada kelas 4E dan dua buah kelas repeaters (pelajar mengulang) 5N dan 5O. Pada tahun seterusnya (1994), tujuh kelas masuk bawah pengawasanku, 4B, 4D, 4E, 4F, 4G, 5D dan 5E.

    Di mana-mana sekolah yang populasinya perempuan, dapat diperhatikan trend sebahagian mereka, mengikut usia keremajaan, tertarik pada guru lelaki dan si guru harus pintar untuk fokus pada pengajaran subjek dan penggunaan teknik soal jawab serta navigasi pertanyaan yang melibatkan situasi realiti.

    Contohnya dalam biologi, situasi dimana terdapat perbezaan antara respiration dan photosynthesis, mahupun perbezaan struktur antara sel haiwan dan sel tumbuhan.

    Semuanya atas kebijaksanaan guru mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara berpasukan atau berkumpulan, kuiz atau perdebatan, memori (penghafalan) atau pemikiran kritis.

    Pada tahun sama, Kementerian Pendidikan memulakan operasi sekolah menengah baharu yang bermakna pemindahan pelajar-pelajar dari bandar, khususnya dari Sekolah Menengah SMJA, Maktab Sultan Omar Ali Saifuddin dan Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri.

    Dengan rasional untuk mengurangkan kesesakan jalan raya di bandar serta mengurangkan jarak para ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

    Dan guru-guru yang alamat rumah mereka berdekatan sekolah baharu berkenaan, akan memastikan transformasi pendidikan pada masa itu ke arah pembangunan infrastruktur luar bandar yang mampan lagi progresif, sekurang kurangnya pada pengamatanku pada masa itu. Namaku terkandung dalam senarai pegawai-pegawai yang ditukar tempat bertugas dan sejarah pun tercipta bila ku jejakkan kaki pertama kali ke SM Sengkurong (sekarang SM Sayyidina Husain) pada 23 Jun 1994.

    Ku amat-amati infrastruktur sekolah. Adakah aku salah tempat? Mana Dewan Serbagunanya? Ku teliti bilik makmal, Masya Allah, aku terbayang kemungkinan menggunakan kaedah chalk and talk bagi mengajar Sains Paduan (Integrated Science), apa tidaknya, langsung peralatan bagi menjalankan ujikaji sains belum tiba.

    Baruku beroleh info dari Mardiah, kerani sekolah, yang sekolah itu mula beroperasi pada 9 Mei, lebih enam minggu sebelumnya dan pada hari ketibaanku bertugas, aku dikehendaki menghadiri mesyuarat di Jabatan Perkembangan Kurikulum bagi mengenal pasti barangan peralatan ujikaji yang relevan dan sesuai bagi pendidikan sains menengah. Mesyuarat berlangsung tiga hari berturut-turut dan diakhiri dengan info barangan yang ditempah akan tiba paling cepat sebulan. Bermulalah pengalaman yang kurasa lain dari yang lain, tambahan lagi perasaan bercampur baur disebabkan sekolah itu semacam dianaktirikan berdasarkan infrastruktur berbeza dari sekolah-sekolah yang seangkatan dengannya.

    Namun ku sabarkan saja, setiap yang berlaku ada sebabnya.

    Selama setahun bertugas di sekolah baharu itu, pembelajaran konvensional dan tradisional terus berjalan. Terdetik di fikiran untuk menambah semarak dalam suasana, tambahan lagi dewan serbaguna sedang rancak dalam pembinaan. Satu cara ialah dengan memperkenalkan penubuhan kelab kegiatan luar dan mula-mula, Kelab Permainan Dalam diasaskan dengan permainan carrom, catur, dam, scrabble dan mastermind. Alhamdulillah, sambutan semakin hangat setiap minggu dengan kedatangan serta keahlian bertambah.

    Meriah tapi teratur. Ada juga guru-guru yang bersedia bersaing dengan pelajar, secara tidak langsung menimbulkan persefahaman dan rasa muhibah.

    Kegiatan ini, Alhamdulillah, disebar bagi pengetahuan umum melalui akhbar dimana aku sendiri menghantar artikel dan gambar-gambar ke Brunei Press Sdn Bhd bagi tujuan siaran.

    Dewan Serbaguna yang bermula operasi pada 23 September menjadi sasaran dan saksi kepada persembahan lagu penghargaan Buat Cikgu, karyaku cukup mengesankan untuk membuat sebilangan guru-guru mengalirkan air mata terharu, ditambah lagi dengan kejutan nyanyian beramai-ramai oleh pelajar, memenuhi ruang dewan dan bergema sehingga keluar.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda