Oleh Ugan Brunei –
Tahun 1996 salah satu tahun yang bersejarah di seluruh negara kerana beberapa buah sekolah menengah akan mengadakan majlis penukaran nama secara rasmi sempena sambutan puja usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan yang ke-50 tahun.
Sekolah Menengah (SM) Lambak Kanan menjadi SM Sayyidina Abu Bakar, SM Lumapas menjadi SM Sayyidina Umar Al-Khattab, SM Bukit Beruang menjadi SM Sayyidina Othman, SM Kampung Pandan menjadi SM Sayyidina Ali dan SM Sengkurong menjadi SM Sayyidina Husain. Semuanya mengaitkan Sejarah kebangkitan Islam dan menggunakan nama-nama ke empat-empat khalifah serta cucu Baginda Rasulullah SAW.
Giliran sekolah tempatku bertugas jatuh pada 13 Ogos 1996 dan aku diamanahkan untuk menubuhkan pasukan koir sekolah secara bidan terjun hampir empat bulan sebelum upacara itu. Alhamdulillah, tawaran dibukakan dan lebih 30 pelajar puteri menerima cabaran untuk menganjung nama baharu sekolah mereka menerusi lagu sekolah.
Hari demi hari, minggu demi minggu, tidak terasa hari tersebut tiba. Pasukan koir sekolah yang belum diberi nama, berusaha membuat persembahan lagu Beriman, Berilmu, Berwawasan dalam masa tiga minit. Tiga minit yang rasanya begitu lama, ditambah dengan masalah PA system yang kebetulan berlaku, dalam hati gundah-gulana, tambahan lagi aku yang jadi konduktor, merasa bersama dengan pasukan koir yang kukagumi kerana keberanian mereka.
Simpatiku terarah pada mereka di belakang dewan selepas persembahan, ada yang marung, ada yang kecewa dan ada yang sedih, menangis. Tidak disangka sangka Tuan Pengetua, Cikgu Marzuki Haji Mohamad menyapa kami semua dan memberi kata-kata dorongan dan sokongan. Ingatku kata-kata beliau, hari ini cuma satu perjalanan masih lagi jauh, ambil iktibar, yang penting, semuanya akan bertambah baik pada hari-hari seterusnya. Penolong Pengetua, Cikgu Haji Maidi Ahmad sempat berseloroh yang hari itu akan bermulalah SM Sayyidina Husain menjadi sekolah yang terkenal dan digalati seluruh negara, dibawah teraju pimpinan seorang guru CCA sepertiku.
Tahun 1997 tiba. Salah satu dari dua tahun yang ku anggap tahun emas bagiku sebagai seorang guru sains yang terlibat menaikkan nama sekolah dalam kokurikulum senegara.
Kelab Kembara, Kelab Perhutanan, Kelab Drama Teater dan dimasa yang sama menerbitkan newsletter ulung Jerudong Weekly (JW) yang melahirkan penulis-penulis dwibahasa muda berbakat dan berpotensi, melapor berita terkini dan menghasilkan karya fiksyen, karikatur animasi lucu, info berguna serta ucap selamat mingguan.
Kelab Kembara ditubuhkan bagi memberi peluang kepada ahli untuk KNK (kenali negara kitani) dengan meneroka serta mengadakan kegiatan yang bermanfaat di tempat yang diteroka. Pernah menjejaki Pantai Meragang, Pantai Berakas, Wasai Wong Kadir, Tasik Merimbun, Pantai Seri Kenangan, Taman Perayaan Kampung Parit, Taman Peranginan Luagan Lalak dan Taman Rekreasi Sungai Liang.
Kelab Drama Teater ditubuhkan sebagai menyahut cabaran Bahagian Drama RTB sewaktu mengadakan Peraduan Drama Sitkom. Tiga Kumpulan ditubuhkan dan kesemua 20 ahli pelajar mempromosi bahasa dan budaya Kedayan dengan begitu bertenaga dan bersemangat disamping menghibur audience di Dewan Raya dan penonton TV Brunei dengan telatah lucu dan bersahaja sehingga ke satu tahap dimana salah seorang dari mereka, Erni Irdawati Bakeri, dicalonkan sebagai pelakun sitkom harapan pada penghujung tahun 1997.
Kelab Perhutanan pula dibentuk bagi menyahut cabaran Jabatan Perhutanan, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama (pada waktu itu) melancarkan dan menganjurkan Princess Rashidah Young Nature Scientist Awards (PRYNSA). Satu kertas cadangan telah dihantar, mengandungi kajian mengenai serangga malam (nocturnal insects), khususnya spesies rama-rama yang menghuni Taman Negara Ulu Temburong, ianya diterima Jawatankuasa Tertinggi PRYNSA dan satu kontinjen seramai 10 orang (tiga guru dan tujuh pelajar) dibentuk bagi menggalas projek dan menjalankan kajian di tengah hutan belantara.
Cikgu Irwan, Cikgu Awangku Haji Asran, Mrs Yapp Lian Kui, Mohd Fakhrurazi, Hajah Seri Kartika, Darul Radzuan, Mohd Radzuan Haji Madali, Adina Noor Fariza, Dayangku Moniri dan Hajah Rosmah menganggotai kontinjen itu dan membuat dua trip ke Taman Negara Ulu Temburong, setiap trip memakan masa empat hari tiga malam, membawa bekal makanan dan minuman, kadangkala memasak sendiri dan tinggal di dua chalet berasingan namun berdekatan antara satu sama lain.
Generator hanya dihidupkan bermula jam enam petang hingga 11 malam setiap hari.
Maknanya waktu tidur bergelap. Nasib baik ada yang membawa lampu portable yang boleh di cas. Hubungan dengan dunia luar hanya bergantung pada walkie-talkie yang dibekalkan oleh Jabatan Perhutanan. Hendak gunakan telefon bimbit tahun 1990an bukannya secanggih yang ada sekarang, besar dan beratnya kami saja yang ingat dan tahu, lagipun menara perhubungan baharu hendak didirikan di kawasan itu. Namun yang penting, kami semua survive dan dapat mengatasi cabaran berada di hutan belantara dan banyak cerita dan pengalaman yang dikongsi dengan keluarga dan sahabat handai. Tahun 1998 lain pula ceritanya.
Dikala fenomena jerebu yang berasal dari negara jiran mengganas dan melitupi negara, aku menerima panggilan telefon dari Bahagian Antarabangsa dan Bahagian Latihan dalam Perkhidmatan Luar Negeri untuk menghadiri taklimat di bangunan ibu pejabat Kementerian.
Terlerai akhirnya rahsia yang namaku dipilih menyertai rombongan lima pegawai untuk berkursus selama 10 minggu di SEAMEO-RECSAM, Gelugor, Pulau Pinang, Semenanjung Malaysia. Sayu rasanya meninggalkan keluarga namun seruan tugas harus disahut.