Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga dekad menabur bakti

    (Siri 3)

    Oleh Ugan Brunei –

    Sepuluh minggu di Pulau Mutiara penuh cerita dan drama. Dari Brunei Darussalam transit ke Kuala Lumpur dan tiba di Bayan Lepas, Pulau Pinang hampir tengah malam. Nasib baik ada pegawai SEAMEO-RECSAM sudah menunggu untuk menjemput naik teksi. Selepas memunggah barang dan bergerak menuju ke asrama, baruku sedar aku tertinggal songkokku di teksi.

    Sedikit kesal namun aku bersyukur yang aku masih sempat bawa blazerku yang mengandungi wallet dan passport, kalau tidak lebih berat lagi masalah. Alhamdulillah juga bilik asrama mengandungi kemudahan dan kelengkapan. Alat pendingin hawa, cerek, bilik air, dua katil, meja tulis dan televisyen. Aku berkongsi bilik dengan Cikgu Hj Suhaili, rakan senegara yang juga Penolong Guru Besar Sekolah Rendah Tungku pada masa itu.

    Kami berlima rombongan dari Brunei mengikuti kursus masing-masing penuh patuh dan konsisten. Setiap minggu ada saja kuliah, teori dan amali yang dilalui. Namun di sebalik kesibukan terdengar desas-desus, khabar yang menyatakan kontinjen negara kali ini adalah yang jauh terbaik berbanding yang dahulu.

    Ceritanya begini. Negara-negara ASEAN sengit bergelumang dalam kegawatan ekonomi berpunca dari spekulasi pakar ekonomi yang menyebabkan mata wang merudum berbanding mata wang Amerika. Dan impak dari krisis itu memberi kesan kepada peserta-peserta khususnya dari Thailand, Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar sehingga terbit kerenggangan solidariti dan pertelagahan kecil, semuanya kerana salah faham dari segi bahasa dan status kerakyatan.

    Pensyarah-pensyarah memutuskan untuk meminta bantuan daripada kontinjen Malaysia sebagai tuan rumah dan kontinjen negara sebagai pengamal diplomasi terbaik untuk meredakan keadaan. Mulanya nampak sukar, namun dengan kemampuan yang ada, peserta-peserta kelima negara Indo-China ini mewujudkan pendekatan yang bersahaja dan bermakna dan akhirnya keharmonian serantau wujud di SEAMEO-RECSAM apabila semua kontinjen 10 negara ASEAN beramai-ramai mengikuti lawatan sambil belajar ke Kuala Lumpur menaiki bas persiaran.

    Sepuluh minggu penulis di Pulau Mutiara penuh cerita dan drama. – Freepik
    Gambar Freepik

    Sepanjang perjalanan pergi dan balik, banyak cerita dikongsi, sambil mengambil gambar di tempat-tempat menarik dan menikmati jamuan di gerai-gerai yang disinggahi di Taiping, Perak dan Shah Alam, Selangor. Pendeknya lawatan sambil belajar ini berjaya mencantumkan semula persahabatan serantau yang hampir saja memecah-belahkan kesatuan yang sepatutnya wujud demi berkursus di bawah satu bumbung.

    Sekembaliku dari Semenanjung, timbul cabaran baharu di Sekolah Menengah (SM) Sayyidina Husain. Pasukan bola keranjang sekolah kehilangan pengurus. Sebenarnya bukan hilang, tetapi pengurus tersebut meletak jawatan kerana tidak sanggup menanggung keperluan pemain-pemain. Mereka merayu padaku untuk mengambil alih pasukan untuk bersatu sambil menyempati pendaftaran bagi kejohanan sekolah-sekolah menengah yang berlangsung tidak sampai dua minggu lagi. Kata mereka, hanya aku yang faham dan mengerti isi hati pemain.

    Dengan penuh rasa tanggungjawab dan mahu menyaksikan pasukan sekolah mencipta nama, maka bayaran pendaftaran $100 pun diserahkan kepada penganjur SM Chung Hwa di ibu negara. Empat perlawanan pertama ditempuh, berhasil dengan kekalahan, namun permainan dilalui dengan penuh bersemangat, mengamalkan slogan Nothing to Lose, Everything to Gain. Di perlawanan terakhir menentang pasukan SM Sayyidina Hasan, akhirnya pasukan sekolah menang 19-17. Sekolah adik mengalahkan sekolah abang.

    Sengit tetapi yang mengagumkan, diwisel penamat, kedua-dua pasukan bersalam dan berpelukan seolah-olah perlawanan yang mereka lalui itu perlawanan pertunjukan (exhibition match). Tepukan bergemuruh dan laungan NO LOSERS, JUST WINNERS bergema mengelilingi arena Dewan Serbaguna SM Chung Hwa petang itu. Memori yang mengagumkan dan mengharukan.

    Tahun 1999, tahun dimana negara menjadi tuan rumah Sukan Asia Tenggara kali ke-20.

    Banyak pihak terlibat menjayakan acara ini termasuklah guru-guru dan pelajar sekolah-sekolah menengah. Latihan dilancarkan bulan Mac selepas sambutan Aidilfitri bagi acara yang bakal dijalankan pada bulan Ogos.

    Latihan termasuklah persembahan padang dan juga flip-chart. Pada mulanya Latihan diadakan secara dalaman dan berterusan ke Stadium Negara Hassanal Bolkiah, mulanya diwaktu siang, sehinggalah beredar ke sesi malam. Latihan sesi malam ini menjadi cabaran bukan saja buat pelajar dan guru, malah para pemandu bas dan ibu bapa. Apa tidaknya, bas bertolak dari sekolah jam 4:30 petang, latihan bermula jam 8 malam dan berakhir paling lewat 11:30 malam dan sampai di sekolah letih dan mengantuk limpas pukul satu pagi. Pelajar terakhir disinggahi ibu bapa jam 3:30 pagi, pelajar belum diambil, ahli jawatankuasa harus masih ada bertugas dan berlegar di kawasan blok pentadbiran dan dewan serbaguna.

    Dipendekkan cerita, Sukan Asia Tenggara ke-20 bermula pada 7 Ogos dan berakhir 15 Ogos dan menyaksikan negara beraksi mantap menganjurkan 21 acara sukan, memenangi 4 pingat emas, 13 perak dan 31 gangsa menduduki tempat ke-7 pungutan pingat dari 11 negara peserta. Hampir 600 pelajar SM Sayyidina Husain terlibat dalam perlaksanaan acara itu dan semuanya beroleh kenangan dan pengalaman manis dan bermakna.

    Sehingga kini, negara masih menanti peluang untuk menjadi penganjur dan peserta yang mampu bersaing hebat namun peluang yang disediakan pada 2019 dan 2027 terpaksa diserahkan kepada negara jiran yang lebih berkemampuan dari segi infrastruktur dan belanjawan. Harap-haraplah peluang tersebut tiba lagi setelah negara mencapai Wawasan 2035, In syaa Allah. Kita sebagai rakyat dan atlit seharusnya bersabar, berusaha, berdoa dan bertawakal.

    Tahun 2000 hingga 2003, fokusku balik semula kepada teras, iaitu mengajar dan mendidik anak bangsa disamping melaksanakan dan menjayakan fungsi sekolah secara rutin, menjadi guru tingkatan, guru kegiatan luar dan sempat memangku sebagai pegawai kesejahteraan sekolah secara sementara. Apatah lagi denganku baharu saja mendirikan rumahtangga dan menjadi suami, perspektif hidup bertambah ragam dan mencabar, menyatukan dua keluarga besar. Setiap saat, minit, jam, hari, minggu dan bulan dilalui penuh titih dan lutanan namun tidak dihairankan, Allah SWT akan menurunkan ujian dan kifarah buat hamba-hambaNya untuk memartabatkan iman serta menebus dosa membersihkan diri.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda