Sunday, November 24, 2024
26.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga didakwa simbah sup ke atas lukisan Van Gogh

    LONDON, 29 SEPT – Tiga aktivis alam sekitar didakwa atas kerosakan jenayah selepas sup disimbah ke atas dua lukisan Van Gogh di Galeri Nasional London pada Jumaat, lapor agensi berita Jerman, dpa.

    Stephen Simpson, 61, dari Bradford, West Yorkshire; Phillipa Green, 24, dari Penryn, Cornwall dan Mary Somerville, 77, dari Bradford, West Yorkshire, akan hadir di Mahkamah Majistret Westminster esok, kata Polis Metropolitan.

    Ia berlaku selepas aktivis Just Stop Oil itu menumpahkan sup ke atas dua lukisan Vincent Van Gogh hanya beberapa jam selepas ahli kumpulan lain dipenjarakan kerana merosakkan bingkai emas lukisan Sunflowers oleh artis itu.

    Dalam satu pos di platform X, yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter, Just Stop Oil berkata, “Berita terkini: 2 lukisan Van Gogh ‘disupkan’ beberapa jam selepas Phoebe dan Anna dihukum.”

    “Tiga penyokong Just Stop Oil melemparkan sup ke atas 2 lukisan Van Gogh dalam pameran Poets and Lovers di Galeri Nasional.” Galeri Nasional mengesahkan pada Jumaat bahawa tiga aktivis ditangkap, bagaimanapun lukisan itu tidak rosak.

    Menurut satu kenyataan, “Pada 2:30 petang hari ini, tiga orang memasuki bilik enam pameran Van Gogh: Poets and Lovers’Galeri Nasional.

    “Mereka kelihatan melemparkan bahan seperti sup ke atas dua karya – Sunflowers (1888, Galeri Nasional, London) dan Sunflowers (1889, Muzium Seni Philadelphia). “Polis telah dipanggil dan tiga orang ditangkap. – Bernama

    Dua penunjuk perasaan yang telah membaling sup tin ke arah karya terkenal Vincent Van Gogh, Sunflowers, dari tahun 1888, di Galeri Nasional di London pada 14 Oktober 2022. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda