Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga diiktiraf temui virus Hepatitis C

    STOCKHOLM, 5 OKT – Warga Amerika Harvey Alter dan Charles Rice bersama warga Britain Michael Houghton memenangi Hadiah Perubatan Nobel hari ini atas penemuan mereka dalam virus Hepatitis C, justeru membuka laluan kepada ubat penawar, kata juri Nobel.

    Ketiga-tiga mereka diiktiraf atas ‘sumbangan mereka dalam perjuangan memerangi hepatitis, masalah kesihatan global yang mengakibat cirrhosis dan kanser hati di kalangan penduduk di seluruh dunia,” kata juri.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan terdapat kira-kira 70 juta jangkitan Hepatitis C di seluruh dunia, membawa kepada kira-kira 400,000 kematian setiap tahun. Ia mempunyai gejala seperti tidak mempunyai selera, muntah, lesu dan penyakit kuning.

    Disebabkan penemuan ketiga-tiga mereka, ujian darah amat sensitif untuk virus kini boleh diperoleh dan mereka telah “menghapus hepatitis di kebanyakan kawasan dunia, sekali gus mempertingkat kesihatan global,” kata jawatankuasa Nobel.

    Penemuan mereka membenarkan pembangunan ubat antiviral untuk Hepatitis C.

    “Untuk kali pertama dalam sejarah, penyakit tersebut kini boleh diubati, justeru menambah harapan untuk membasmi virus Hepatitis C dari penduduk dunia,” menurut juri.

    Sebelum kerja mereka, penemuan virus Hepatitis A dan B telah menjadi langkah kritikal – penemuan Hepatitis B memenangi Hadiah Perubatan Nobel pada 1976 – namun majoriti kes hepatitis masih tidak dapat dijelaskan.

    Penemuan virus Hepatitis C mendedahkan punca kes hepatitis kronik yang tinggal dan ‘menjadikan ujian darah dapat dilakukan dan ubat baharu dihasilkan yang menyelamat jutaan nyawa,” kata jawatankuasa Nobel.

    Ketiga-tiga mereka akan berkongsi hadiah wang berjumlah 10 juta kroner Sweden. Houghton, Alter dan Rice akan menerima hadiah mereka dari Raja Carl XVI Gustaf pada majlis formal di Stockholm pada 10 Disember, ulang tahun kematian saintis Alfred Nobel yang mencipta hadiah tersebut dalam wasiatnya pada 1896. – AFP

    Thomas Perlmann (kanan) mengumumkan pemenang Hadiah Nobel 2020 dalam Perubatan ( dari kiri ke kanan) Harvey Alter, Michael Houghton dan Charles Rice semasa sidang media di Institut Karolinska di Stockholm, Sweden kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda