Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MAC – Tiga lelaki telah ditahan kerana memasuki dan cuba memasuki negara ini secara tidak sah melalui jalan tikus dalam insiden berasingan di kawasan Kampung Junjongan, Daerah Brunei dan Muara.
Haji Embran bin Haji Omar, 49, yang merupakan penduduk tetap cuba memasuki negara ini secara tidak sah dengan menaiki motosikal dan ditahan hasil rondaan Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB).
Awangku Mohammad Azri bin Pengiran Suhaimi, 34, yang merupakan warga tempatan ditahan susulan siasatan lanjut oleh pihak polis kerana telah dipercayai terlibat keluar masuk secara tidak sah ke negara ini melalui jalan tikus berkenaan.
Manakala itu, lelaki penduduk tetap, Aris @ Rais bin Tuah berumur 66 tahun ditemui ketika menaiki sebuah motosikal dipercayai keluar dan masuk ke negara ini secara tidak sah melalui jalan tikus yang sama oleh anggota Pasukan Simpanan Polis C Kompeni.
Ketiga-tiga mereka telah dibawa ke Balai Polis Limau Manis untuk siasatan lanjut dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) bagi siasatan dan tindakan selanjutnya.
Walaupun dalam keadaan situasi negara menjalankan pengawalan menangani penularan wabak COVID-19 ini, anggota keselamatan sentiasa teguh dalam barisan membuat kawalan rapi di kawasan sempadan bagi memastikan tidak ada sebarang pencerobohan berlaku mahupun penyeludupan barang-barang tegahan dibawa masuk ke negara ini.
Komitmen yang tinggi sentiasa diterapkan bagi memastikan negara ini bebas daripada sebarang anasir-anasir negatif dan juga kegiatan-kegiatan yang menyalahi undang-undang.
