Friday, November 22, 2024
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga ditahan miliki rokok semasa sekatan jalan

    Oleh Yusrin Junaidi

    TUTONG, 25 OKT – Tiga individu ditahan manakala lebih 30 kompaun telah dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan semasa operasi sepadu sekatan jalan raya yang dikendalikan oleh agensi penguatkuasaan undang-undang di Daerah Tutong, kelmarin. 

    Operasi tersebut melibatkan seramai 30 orang pegawai, anggota dan ahli terdiri daripada Ibu Pejabat Daerah Polis Tutong, Balai Polis Tutong Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Biro Kawalan Narkotik (BKN) dan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) yang diketuai oleh Pegawai Siasatan Lalu Lintas Daerah Polis Tutong, Penolong Penguasa Polis (ASP), Ivy Han.

    Hasil daripada operasi tersebut, JKED telah menahan tiga individu melibatkan kesalahan di bawah Perintah Eksais 2006 seperti penemuan rokok dan rokok elektronik (vape).

    Sementara itu, PPDB telah mengeluarkan 26 kompaun melibatkan kesalahan di bawah Akta Lalu Lintas Jalan Raya Penggal 68 seperti memandu kenderaan yang tidak layak dari segi keselamatan, tayar keluar madgad, gagal memasang lampu kenderaan dan beberapa kesalahan lagi.

    Manakala JPD telah mengeluarkan sebanyak 11 kompaun yang melibatkan kesalahan di bawah Akta Lalu Lintas Jalan raya Penggal 68 seperti membawa muatan lebih berat daripada yang dibenarkan, tidak membawa sijil kelayakan dan beberapa kesalahan
    lagi.

    Operasi sedemikian dijalankan adalah antara lain untuk mencegah serta membuat penahanan jika ada sebarang individu yang didapati membuat kesalahan yang melanggar undang-undang.

    Antara barang tegahan seperti vape yang ditemui semasa operasi sepadu sekatan jalan raya di Daerah Tutong.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda