Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Tiga orang warga asing telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) semasa Operasi SAKAT JIPK 07/2023 yang menyasarkan rumah sewa di kawasan Mukim Kilanas dan Mukim Sengkurong, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK Bandar Seri Begawan, di sini, semasa pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai-pegawai penguat kuasa di rumah sewa di Mukim Kilanas, seorang lelaki warganegara asing ditahan atas kesalahan di bawah Bab 15 (1) Akta Imigresen Penggal 17 iaitu gagal menunjukkan dokumen yang sah dan dipercayai tinggal lebih masa.
Sementara itu, semasa pemeriksaan di rumah sewa di kawasan Mukim Sengkurong, pegawai-pegawai telah menahan dua orang warganegara asing iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan atas kesalahan di bawah Bab 15 (1) Akta Imigresen Penggal 17 iaitu gagal menunjukkan dokumen yang sah dan dipercayai tinggal lebih masa.
Manakala itu, seorang perempuan warganegara asing juga tersenarai pekerja lari daripada majikan. Kesalahan melanggar syarat-syarat pas imigresen boleh dikenakan penjara tidak kurang tiga bulan dan tidak melebihi dua tahun serta sebat tidak kurang tiga sebatan.
Tindakan seterusnya, pas kerja dibatalkan dan diusir dari negara ini.
Nama-nama mereka boleh disenarai hitamkan untuk tidak dibenarkan lagi bekerja di Negara Brunei Darussalam.
Manakala majikan yang mengambil, menggaji pesalah imigresen boleh dikenakan denda sebanyak $3,000 bagi setiap seorang pesalah imigresen.
JIPK mengingatkan orang ramai bahawa jabatan berkenaan akan sentiasa menjalankan operasi, menangkap, menyiasat serta mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana orang yang menyalahi undang-undang mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan.
Bagi mana-mana warganegara asing di negara ini yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan dan jika sabit kesalahan akan dihadapkan ke mahkamah, dipenjarakan dan diusir ke negara asal dan nama-nama mereka disenarai hitamkan.
