Tiga ditembak ketika sambutan Hari Pekerja

SANTIAGO, 3 MEI – Tiga orang cedera terkena tembakan dan dua ditahan dalam pertempuran ketika demonstrasi Hari Pekerja atau ‘May Day’ di Chile, kata polis.

Tembakan dilepaskan ketika perarakan kesatuan pekerja di ibu negara Chile, Santiago selepas beberapa penunjuk perasaan mendirikan penghadang dan memasuki premis komersial serta bertempur dengan peniaga.

“Terdapat pertempuran antara penjual jalanan menggunakan senjata api, menyebabkan dua wanita dan seorang lelaki cedera,” kata ketua polis kawasan metropolitan, Enrique Monras.

Polis, yang menggunakan meriam air dan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan, turut mengesahkan dua warga asing ditahan kerana disyaki melepaskan tembakan.

Presiden Gabriel Boric mengecam keganasan itu dan memberitahu saluran berita: “Kami meredakan keganasan, kami tidak boleh membenarkan kumpulan penjenayah mengambil alih negara kami.”

Dalam majlis berasingan, perarakan Hari Pekerja yang secara tradisi disambut pekerja negara itu di bawah naungan kesatuan Central Unitaria de Trabajadores (CUT), berjalan tanpa sebarang gangguan ketika beribu-ribu orang berarak membawa bendera serta sepanduk berkumpul di Plaza Italia.

Perarakan itu disertai Menteri Buruh, Jeannette Jara, ahli pertama Parti Komunis yang memegang jawatan itu sejak kembalinya demokrasi di Chile pada 1990. – AFP