COLOMBO, 19 Sept – Sebuah kereta api yang mengangkut minyak di timur Sri Lanka telah melanggar dan membunuh dua anak gajah serta ibu gajah yang mengandung, menurut polis, tragedi kedua bulan ini.
Tiga gajah itu, sebahagian daripada kumpulan besar, melintasi landasan kereta api pada waktu subuh di sebuah hutan berdekatan dengan Habarana, 180 kilometer Colombo, apabila ia dilanggar.
Kereta api itu tergelincir keluar dari landasan dan beberapa tangki mula menumpahkan minyak, jelas polis, dengan menambah bahawa mereka telah menutup kawasan tersebut bagi menghalang penduduk kampung daripada mengambil minyak itu.
“Ia adalah kawasan kemalangan yang sangat bahaya. Kami sedaya upaya menghalang orang ramai daripada cuba mengambil minyak yang tumpah,” kata anggota polis di kawasan itu kepada AFP.
Dia berkata pihak berkuasa landasan kereta api turut melaksanakan penyiasatan berasingan, sama ada pemandu kereta api itu mematuhi prosedur yang ditetapkan semasa beroperasi di kawasan hutan, di mana terdapatnya kumpulan gajah.
Pemandu kereta api selalunya diarahkan memandu dengan perlahan dan membunyikan hon secara berterusan bagi memberi amaran pada haiwan-haiwan liar agar menjauhi landasan.
Kejadian itu terjadi tiga minggu selepas tujuh ekor gajah lemas dalam sebuah paya di daerah yang sama. Enam daripadanya berusia bawah 12 tahun.
Sri Lanka menganggap gajah sebagai harta kebangsaan dan ia dilindungi oleh undang-undang.
Bagaimanapun, konflik manusia-gajah berdekatan dengan tempat pelindungan hidupan liar telah menyebabkan 375 kematian penduduk dalam lima tahun kebelakangan ini, menurut perangkaan rasmi. Menimbulkan kemarahan awam sehingga membunuh 1,200 haiwan itu.
Pada bulan lepas, kerajaan berkata bahawa pihak berkuasa akan mula memasang pagar elektrik sepanjang 2,651 kilometer bagi menghalang gajah-gajah daripada mendekati perkampungan yang bersempadan dengan kawasan perlindungan hidupan liar.
Jumlah gajah liar di Sri Lanka dianggarkan sekitar 7,500 ekor. – AFP